Berita

12,160 individu jalani kuarantin, 77 dikesan positif Covid-19

SALAH satu pusat kuarantin Covid-19 di Institut Sosial Negara, Kuala Lumpur
- Diterbit 21 April 2020 2:07 PM MYT

PUTRAJAYA – Langkah mewajibkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin sebagai tindakan tepat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak 3 April lalu, 12,160 rakyat Malaysia pulang ke tanah air menjalani kuarantin bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Dari jumlah itu, seramai 7,910 sampel individu diambil dan hasilnya 77 kes positif berjaya dikesan.

“Perkara ini telah dijangka memandangkan lebih 180 buah negara di seluruh dunia telah terkesan akibat wabak ini.

“Tindakan proaktif ini menunjukkan peningkatan di beberapa negeri yang menempatkan individu ini.

“37 kes dikesan di Melaka, 32 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sarawak (3), Johor (3) dan Selangor (2),” katanya pada siding akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejak awal Februari lalu, Kementerian Kesihatan menjalankan 2,668 persampelan pesakit yang mempunyai gelaja seperti influenza dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi mengesan penularan Covid-19 dalam komuniti.

Katanya, sampel itu diambil daripada semua pesakit yang mengalami masalah jangkitan paru-paru.

“Setakat ini terdapat 56 kes positif daripada sampel sampel kes SARI manakala persampelan ILI mula
dijalankan pada 23 Februari 2020 dengan lapan lokasi Klinik Kesihatan terpilih untuk permulaan.

“Persampelan ILI mengesan lapan kes positif Covid-19 daripada 1,280 sampel yang telah diambil.

“Aktiviti ini diambil sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal kejadian Covid-19 di Malaysia,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas