Berita

Kaunter PPZ akan dibuka di kompleks beli belah

AHMAD Syukri (tengah) menyampaikan hadiah cabutan betuah kepada pemenang Kempen Year End Zakat (YEZ) 2019, di Wisma PPZ-MAIWP di sini hari ini.
- Diterbit 19 Februari 2020 11:15 AM MYT

KUALA LUMPUR- Bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengorak langkah untuk membuka kaunter pembayaran zakat di pusat beli belah terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, beberapa pusat beli belah di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang dikenal pasti bagi tujuan tersebut.

“Ketika ini, cadangan berkenaan masih lagi dalam peringkat perbincangan dan kajian iaitu mengenal pasti kompleks beli belah yang sesuai sebelum menentukan berapa kaunter akan dibuka.

“Ia sebagai usaha PPZ-MAIWP sempena Kempen Year End Zakat (YEZ) 2019 yang mahu memperbanyakkan kaunter pembayaran zakat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan hadiah Kempen Year End Zakat 2019 di Wisma PPZ-MAIWP di sini hari ini.

Kata Ahmad Shukri, setakat ini pihaknya menyediakan empat saluran pembayaran zakat iaitu Kaunter PPZ-MAIWP, Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB), Portal zakat.com.my, Kaunter Zakat Bergerak dan ejen PPZ-MAIWP.

“Menerusi saluran ini dan kempen berteruskan yang dijalankan pihaknya termasuk bantuan pelbagai medium media, jumlah pembakar zakat bagi tiga kawasan MAIWP iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan semakin meningkat,” katanya.

Ujar Ahmad Shukri, tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus pembayar zakat iaitu sebanyak 211,102 orang berbanding 180,958 pada 2018.

“Ini menunjukkan peningkatan kutipan sebanyak lima peratus dari jumlah kutipan iaitu RM682.2 juta berbanding RM651.2 juta sebelumnya,” katanya.

Terdahulu, seramai 30 orang menerima hadiah sempena program YEZ 2019. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas