Berita

Karnival SWIP bakal ditambah baik

HASNUL (kiri) bersama pasukan badminton Kuala Lumpur yang muncul johan pada Karnival SWIP fasa kedua baru-baru ini.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:44 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Karnival Sukan Wilayah Persekutuan (SWIP) bakal ditambah baik pada tahun hadapan dengan memberi fokus kepada pertambahan penyertaan atlet dari Labuan.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr. Hasnul Faizal Hushin berkata, sempena penganjuran akan datang, pihaknya berharap agar Labuan menghantar lebih banyak lagi penyertaan berbanding tahun ini.

“Rugi sekiranya mereka kurang menghantar peserta kerana saya yakin Labuan mempunyai ramai atlet yang berkebolehan dan mampu pergi lebih jauh lagi.

“Kita juga akan melipatgandakan promosi secara besar-besaran terutamanya dari segi iklan agar semua pihak mengetahui lebih awal lagi tentang karnival SWIP tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut Hasnul Faizal memberitahu, langkah itu sekali gus akan menggalakkan penyertaan dari negeri-negeri lain sejajar dengan hasrat untuk membolehkan atlet melakukan persiapan rapi dan mendapat pendedahan sewajarnya sebelum bertanding.

Menyentuh tentang pencarian bakat melalui SWIP untuk mewakili Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 dan 2022 akan datang, beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa atlet yang berpotensi.

“Bakat mereka masih boleh digilap lagi dan kini masih dalam penilaian jurulatih. Jika terpilih kita akan melatih mereka agar berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan,” ujarnya sejurus berakhirnya Karnival SWIP fasa dua yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Malaya minggu lalu.

Terdahulu, Kuala Lumpur muncul sebagai johan dan naib johan manakala Putrajaya menduduki tempat ketiga pada Karnival SWIP fasa kedua yang menumpukan sukan berkumpulan antaranya sepak takraw, bola keranjang dan bola tampar dewan.SWIP fasa pertama yang berlangsung pada 27 hingga 28 Julai 2019 lalu pula memfokuskan sukan tempur seperti silat, tinju dan taekwondo.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas