Berita

Atlet negara yakin lakukan terbaik

- Diterbit 12 Julai 2019 1:23 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Usia muda bukan penghalang bagi empat atlet kebangsaan berentap di Kejohanan Ski Air Dunia Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) yang akan berlangsung di Pusat Sukan Air, Presint 6 di sini bermula 13 hingga 19 Ogos depan.

Malah, keempat-­em­pat mereka iaitu Nadiah Nasir, 24, Aaliyah Yoong Hanifah, 15, Aiden Yoong Hanifah, 13 dan Adam Yoong Hanifah, 11 yakin dapat memberikan persembahan terbaik semasa kejohanan berkenaan.

Menurut Aiden, dia akan melakukan yang terbaik dan meleburkan rekod peribadinya mahupun di peringkat nasional.

“Saya akan berusaha keras untuk menjadi lebih baik. Sasaran utama bukanlah untuk mendapatkan medal sebab saya bertanding dengan orang yang lebih hebat. Oleh itu, saya hanya mahu pecah rekod peribadi atau rekod nasional sahaja.

“Latihan bagi menghadapi pertandingan ini dilakukan dengan baik,” katanya selepas sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Kejohanan IWWF 2019 baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua jurulatih skuad luncur air negara, Hanifah Yoong menyasarkan Aaliyah yang merupakan juara Asia dan lima terbaik dunia bagi umur B-21 tahun dapat berdiri sebaris dengan 12 ja­guh dunia yang lain serta menembusi kedudukan 12 terbaik ke final.

Dalam pada itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, tahun ini merupakan penganjuran ketiga kejohanan IWWF di Putrajaya.

Jelasnya, pemilihan lokasi penganjuran pusat sukan itu bertepatan dengan kemudahan lengkap bertaraf antarabangsa, malah Tasik Putrajaya merupakan tasik buatan yang tercantik di kawasan tropika.

“Penganjuran kejohanan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagai dan mengembangkan acara sukan air di peringkat antarabangsa dan tempatan,” katanya.

Sebanyak 167 atlet dari 33 negara bakal berentap dalam tiga kategori yang dipertan­dingkan pada kejohanan IWWF iaitu trick, jump dan slalom.

Sebelum ini, Kejohanan Du­nia Ski Air pertama di Putrajaya diadakan pada 2017 merekodkan sebanyak 132 penganjuran acara pelbagai peringkat dan menarik lebih 2.6 juta keha­diran pengunjung dan meningkat pada 2018 sebanyak 3.3 juta pengunjung.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas