Utama

Kanak-kanak maut: pengasuh, suami direman 7 hari

KES DERA
Gambar hiasan
- Diterbit 9 Ogos 2019 10:58 AM MYT

PUTRAJAYA – Sepasang suami isteri direman tujuh hari selepas didapati mengakibatkan kematian ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun pada Ahad lalu.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, berdasarkan aduan daripada pegawai perubatan di sebuah klinik swasta, kanak-kanak berusia 1 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8.45 malam.

“Pegawai terbabit mengatakan, kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai degupan jantung semasa sampai di kliniknya dan ekoran itu resutasi dijalankan. Namun selepas 15 minit, didapati tiada tanda-tanda pemulihan dan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Berdasarkan keterangan awal dari suspek yang juga pengasuh, mangsa didapati tidak sedarkan diri dalam keadaan terlangkup. Suspek turut mengatakan mangsa berdiri di atas sofa di rumahnya sebelum terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Samsor, ekoran itu mangsa terus dibawa ke klinik swasta berdekatan dan didapati meninggal ketika perjalanan.

Bagaimanapun, jelas beliau, hasil bedah siasat yang dilakukan pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala yang disebabkan objek tumpul.

“Pemeriksaan pakar juga mengesahkan terdapat 39 kesan kecederaan dibahagian tubuh badan mangsa.

“Dimaklumkan juga kecederaan dibahagian kepala tidak konsisten dengan kenyataan bahawa mangsa jatuh sendiri dalam keadaan berdiri. Boleh disimpulkan kejadian disebabkan jatuh dengan kuat atau tolakan yang kuat atau kepala dihentak pada permukaan yang keras,” tegasnya.

Katanya, kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tangkapan ke atas suami pengasuh mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah berkaitan dadah iaitu memiliki syabu serta positif dadah.

Tambah Samsor, mangsa merupakan anak tidak sah taraf yang diserahkan ibu kandung untuk dijaga pengasuh bersama suaminya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas