Berita

Kampung Baru : Khalid umum tawaran baharu Khamis ini

KHALID membuat pemeriksaan Perbarisan Penguatkuasa DBKL.
- Diterbit 20 Oktober 2019 2:55 PM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Satu pengumuman baharu mengenai pengambilan tanah Kampung Baru akan dibuat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini Khamis ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta ahli lembaga Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) berhubung isu berkenaan.

“Secara umumnya, dalam pertemuan saya dengan ahli lembaga PKB, saya dapati mereka kelihatan begitu positif, begitu seronok dan yakin dengan apa yang telah dan sedang berlaku.

“Hasil perbincangan juga mendapati mereka bersikap optimistik, yang positif dan optimis bahawa kali ini Insya-Allah apa yang sedang dibentangkan dan diusahakan akan mencapai kejayaan. Dari segi perinciannya, Khamis nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Jubli Emas Sambutan Hari Penguatkuasa DBKL ke-50 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, apa yang akan disampaikan pada Khamis ini merupakan satu penambah baikan daripada tawaran sebelum terdahulu.

Terdahulu, pada majlis itu, beliau membuat pemeriksaan Perbarisan Penguatkuasa DBKL.

Dalam perkembangan lain, Khalid menggesa anggota Penguatkuasa DBKL untuk menjadikan integriti sebagai benteng kepada jabatan itu.

“Apabila unit penguat kuasa dilihat sebagai badan yang berintegriti, maka semua tindakan penguatkuasaannya tidak akan dipersoalkan atau dipertikaikan lagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas