Berita

Tanah runtuh: DBKL, Ikram bertemu esok

NOR Hisham, meninjau kesan mendapan tanah yang berlaku di Flat PKNS Kampung Baru berikutan kesan banjir kilat yang berlaku baru-baru ini. - FOTO :NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 20 Oktober 2019 3:00 PM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanggil Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk memeriksa dan menilai keadaan struktur tanah di rumah Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kampung Baru.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tindakan segera itu diambil pihaknya setelah mengadakan lawatan mengejut ke kawasan berkenaan hari ini.

“Memang bangunan nampak macam ‘okay’ tetapi kita perlu pastikan ia benar-benar selamat demi keselamatan penduduk.

“Selain itu, DBKL juga akan melakukan kerja-kerja pembaikan di jalan-jalan yang merekah sehingga berlakunya mendapan dan juga berlubang bermula esok,” katanya.

Menurut Nor Hisham, terdapat kemungkinan banjir yang berlaku berpunca daripada projek menambah baik dan pembesaran rancangan tebatan banjir bersebelahan flat berkenaan.

“DBKL akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perparitan Saliran (JPS) untuk menyelasaikan masalah tersebut dengan segera”

“Bagi menyelesaikan masalah banjir pula, kita meminta JPS meletakkan pam sementara yang lebih besar di kawasan itu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas