Utama

Azalan selamat dikebumikan

JENAZAH Azalan dibawa menaiki van dari Surau An-Nuur Seksyen 20 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
- Diterbit 20 Oktober 2019 2:07 AM MYT

SHAH ALAM – Jenazah kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan yang maut dalam kemalangan di Turki pada Rabu lepas, selamat dikebumikan pada pukul 9.40 malam semalam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang tiba dari Turki kira-kira pukul 5.15 petang itu disembahyangkan di Surau An-Nuur Seksyen 20, Shah Alam selepas solat Isyak.

Turut menziarahi keluarga jenazah adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain dan Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd. Sidek.

Pada Rabu lepas, Azalan antara 35 kakitangan PKNS yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Afyonkarahisar, Turki ketika menyertai rombongan tahunan perbadanan itu ke negara berkenaan.

Allahyarham maut di tempat kejadian manakala empat lagi cedera parah dan mendapat rawatan di hospital Afyonkarahisar.

Azalan merupakan Pembantu Kanan Tadbir PKNS dan telah berkhidmat selama 28 tahun dengan perbadanan itu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Siti Faredah Ahmad, 53, dan tiga anak iaitu Muhammad Aiman, 26, Nurafiqah, 24 dan Ariff Danial, 15.

Siti Faredah ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis pengkebumian itu menzahirkan penghargaan kepada Wisma Putra kerana banyak membantu memudahkan pengurusan jenazah suaminya semasa di Turki.

“Mereka (Wisma Putra) banyak membantu daripada mula tiba di hospital Turki hingga membawa pulang jenazah ke Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas