Berita

Kampung Baru kekal milik Melayu

DEEJAY Bernama Radio bergambar kenangan bersama Khalid Abd. Samad selepas program Bicara Petang di konti stesen radio tersebut baru-baru ini.
DEEJAY Bernama Radio bergambar kenangan bersama Khalid Abd. Samad selepas program Bicara Petang di konti stesen radio tersebut baru-baru ini.
- Diterbit 17 Ogos 2019 5:57 AM MYT

BANYAK fitnah dan dakyah yang cuba ditimbulkan segelintir pihak apabila kerajaan menghidupkan cadangan pembangunan semula Kampung Baru secara bersepadu.

Dalam hal ini Menteri Wilayah Persekutuan, KHALID ABD. SAMAD menyatakan, banyak maklumat tidak tepat disebarkan termasuk dakwaan bahawa orang Melayu akan diusir dari Kampung Baru apabila kawasan kampung tradisi itu dibangunkan melibatkan 825 lot yang dimiliki kira-kira 5,359 penama.

Ikuti sedutan temubual Khalid dalam program Bicara Petang di Bernama Radio bertajuk; ‘Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baru’ baru-baru ini bagi me­rungkai persoalan tersebut.

Boleh cerita pengenalan tentang Perbadanan Kampong Bharu.

KHALID: Perbadanan Kampong Bharu (PKB) bukan satu entiti baharu yang ditubuhkan pada 2011 di mana Akta Perbadanan Kampong Bharu telah diluluskan oleh Parlimen dan ia mula beroperasi pada 1 April 2011.

Isu hendak membangunkan Kampung Baru bukan perkara baharu, sudah berkali-kali sudah disebut dan diusahakan tetapi kurang berjaya atas sebab-sebab tertentu dan PKB mempunyai Ketua Pegawai Eksekutifnya dengan 43 pekerja di bawahnya.

Tugas mereka untuk berhubung dengan semua pemilik dan waris, untuk merancang pembangunan dan hendak yakinkan mereka soal pembangunan Kampung Baru dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.

Dalam apa yang cuba dilaksanakan ada banyak cabarannya, apa langkah-langkah diambil pihak kerajaan dalam menangani dakwaan mengatakan projek pembangunan semula Kampung Baru akan menghapuskan pemilikan harta orang Melayu?

KHALID: Ini sebenarnya kes untuk mendapat dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat umum. Bagi saya sebenarnya, pembangunan Kampung Baru bukannya menghapuskan atau dikurangkan jumlah penduduk orang Melayu, malah sebaliknya.

Kalau sekarang dalam satu lot hanya dua keluarga boleh duduk, kalau dibangunkan maka yang dua keluarga boleh bertambah jadi 20 keluarga sebab sudah tambah bangunan yang besar, tinggi dan nilai tapak tanah itu untuk dua keluarga itu boleh beli sampai 20 apartmen dan semuanya masih dikekalkan syarat hak milik Melayu.
Apa yang akan berlaku jumlah penduduk Melayu di pusat bandar di Kampung Baru akan bertambah hampir 10 kali ganda.

Maka dakwaan ini merupakan satu usaha hendak halau Melayu dari Kampung Baru dan kawasan Kuala Lumpur adalah meleset sama sekali, sebaliknya ia akan menjamin hartanah milik Melayu akan bertambah kerana dari rumah setingkat, dua tingkat kita akan bangunkan rumah mampu milik untuk orang Melayu yang jumlahnya akan bertambah. Bagaimana dikatakan orang Melayu dikurangkan?

Jadi maklumat macam mana boleh timbul dakwaan sebegini?

KHALID: Ada kepentingan politik atau agenda sendiri dan andaian, tujuan untuk menimbulkan kemarahan walaupun mereka tahu maklumat sebenarnya kerana yang penting ialah syarat pemilikan tanah tidak akan diubah, ia tetap akan dikekalkan syarat pemilik mesti orang Melayu.

Tetapi kita nak bangunkan, pemilik sedia ada yang mana kekayaan mereka sekarang terpendam fasal tanah yang ada mungkin lot rumah nilainya berjuta, bukan satu dua juta ringgit, bergantung kepada luas tapak boleh sampai RM8 juta misalnya. Dia ambil RM2 juta untuk kegunaan masa depan, ada RM6 juta lagi, kalau kita jual rumah mampu milik pada harga RM300,000 seunit, dia sudah boleh beli 20 unit.

Ini merupakan satu tindakan yang akan membebaskan kekayaan milik orang Melayu yang selama ini terpendam dalam hartanah yang tidak dapat dibangunkan.
Kedua, jumlah penduduk Melayu akan bertambah. Ketiga, kita mahu membuat pembangunan bersepadu, kita tidak mahu buat runcit-runcit.

Kalau kita beli keseluruhan kawasan Kampung Baru, hampir 200 ekar, maka kita boleh buat pelan dan satu perancangan yang lebih mantap di mana semua jalan boleh diperbetulkan, saliran paip air boleh diperbetulkan, kita hendak tanam kabel fiber optik pun kita boleh lakukan, lalu akhirnya bakal menjadikan Kampung Baru merupakan hartanah bumiputera termaju dan terbaik di Kuala Lumpur.

Sambil itu ada dalam 10 ekar di kawasan masjid sedia ada kita akan khaskan sebagai kawasan lapang yang ada rumah-rumah tradisional dan program kota warisan. Ini arkitek akan tetapkan supaya imej Kampung Baru sebagai warisan orang Melayu dapat dikekalkan dan kita boleh adakan tempat perniagaan. Mereka yang berniaga pada masa ini kita boleh diletakkan di tempat lebih bersih dan tersusun dan jadi pusat tarikan pelancongan tempatan dan luar negara hendak tengok suasana agak unik di Kampung Baru.

Kerajaan tidaklah menidakkan hak orang Melayu, mereka tetap menjadi pemilik hartanah dan tujuan pembangunan adalah untuk manfaatnya untuk orang Melayu khususnya?

KHALID: Kalau pemilik itu sendiri sudah tidak mahu duduk di situ, kita beli (tanah) dengan dia, ambil duit berjuta-juta, lepas itu dia keluar balik kampung, itu terpulanglah, tetapi unit-unit yang dihasilkan tetap akan dijual kepada orang Melayu. Pemilik yang ingin kekal di Kampung Baru boleh buat pilihan sama ada hendak ambil tunai, sebahagian tunai, sebahagian hartanah, itu terpulang kepada dia. Ada pilihan tidak ada paksaan dalam soal ini.

Ada yang hendak simpan tanah itu, kata hendak tunggu harga le­bih tinggi. Kenapa harga tanah di Kampung Baru tidak setinggi harga tanah di kawasan sekitarnya?

KHALID: Fasal tanah itu masih ada syarat pemilikannya mesti orang Melayu, tetapi saya boleh beri jaminan bahawa tawaran yang kita akan buat kepada pemilik bukan satu tawaran yang terlalu rendah tetapi tawaran yang adil dan menyebabkan kekayaan yang terpendam selama ini dapat dimanfaatkan dan dalam bentuk tunai dan hartanah.

Tawaran harga itu saya tidak mahu sebut di sini kerana kita akan ada program pada 21 September ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Di situ kita akan kemukakan harga seperti mana dinilai dan kita akan mengemukakan cadangan pembangunan dalam model bentuk tiga dimensi (3D).

Kalau mereka sendiri ingin membuat cadangan untuk sedikit perubahan, itu akan diambil kira kerana mereka sebagai pemilik asal, mereka berhak memberikan cadangan.

Ada yang bertanya kalau hendak beli berapa ramai orang Melayu mampu beli unit-unit tersebut?

KHALID: Itu sebabnya kita kata hendak bina rumah mampu milik yang harganya tidak melebihi RM300,000 seunit dan saya rasa ramai golongan masyarakat Melayu mempunyai kemampuan tetapi hanya sekarang mereka tidak ada peluang hartanah yang menarik untuk mereka beli.

Kalau RM300,000, penduduk Kampung Baru sekarang mampu beli selepas mereka mendapat duit, golongan profesional muda yang bekerja dekat dengan Kampung Baru, dia boleh terus jalan melalui Saloma Walk pergi ke KLCC melalui jambatan khas. Ia akan menjadi satu pembangunan paling menarik dan moden bagi orang Melayu.

Kos perolehan tanah akan menelan kos sangat besar, RM10 bilion, adakah kerajaan mampu tanggung?

KHALID: Insya-Allah, itu kalau setiap seorang dia hendak jual dan tidak mahu ambil balik apartment, semua minta duit tunai kita dianggar paling maksimum RM10 bilion. Cara untuk mendapatkan wang itu banyak cadangan dikemukakan. Ada yang hendak keluarkan sukuk, ada yang hendak panggil konsortium.

Yang terpenting sekarang ialah untuk mendapat persetujuan pemilik dan berdasarkan anggaran, orang boleh menilai sejauh mana kita serius untuk menawarkan harga yang adil dan munasabah.

Kalau saya sebut hendak beli RM1 bilion untuk beli seluruh Kampung Baru bolehlah kalau hendak tuduh kita hendak beli Kampung Baru dengan harga yang murah.
Tapi kata antara RM6 bilion hingga RM10 bilion, orang yang ada kalkulator, dia kira tengok ke­luasan tanah, dia sudah tahu satu kaki persegi berapa harga yang sedang difikirkan, dia boleh buat anggaran.

Ada yang mengatakan bahawa kita akan gunakan undang-undang dan ambil secara paksa. Inipun satu fitnah yang disebarluaskan seperti mana video yang tunjuk kata saya kena serang oleh penduduk Kampung Baru marah kepada saya, itu video pada tahun 2016, saya kena serang di Parlimen, ada pihak edarkan balik, dia orang kata ini penduduk Kampung Baru marah dengan saya. Sedangkan tidak ada kena mengena dengan Kampung Baru. Inilah dakyah dan fitnah, maklumat yang tidak tepat.

Sebenarnya kita mahu beli dengan harga yang tinggi, kita tidak paksa orang jual, kita cuba yakinkan semua orang bahawa tujuan asalnya ditubuhkan Kampung Baru hendak datangkan orang Melayu ke bandar.
Sekarang kita ada peluang untuk menambah ramai orang Melayu di bandar dan pemilik tanah di Kampung kena ingat matlamat asal iaitu bantu ramai orang Melayu di bandar seharusnya dengan kita tawarkan harga yang baik dan munasabah dengan tujuan mahu meramaikan lagi masyarakat Melayu. Seharusnya mereka menyokong, kita berharap dapat persetujuan daripada semua pihak untuk majukan sebagaimana kita inginkan.

Ramai yang perlukan jaminan tanah Kampung Baru diakhirnya sememang hanya milik orang Melayu.

KHALID: Dalam syarat tanah itulah, sudah ditetapkan dalam geran tanah tidak akan berubah maka kalau hendak jual kepada bukan Melayu, ia tidak akan dibenarkan dan itu antara sebab mengapa yang memainkan peranan utama dalam pembangunannya mestilah kerajaan supaya ia bukan satu tindakan yang tujuan untuk capai keuntungan semata-mata.

Walaupun pada dasarnya pada potensinya ada keuntungan kepada kerajaan atau mana-mana special vehicle atau sukuk yang ditubuhkan untuk membiayai projek boleh ada potensi capai keuntungan kerana kita kena ingat projek Kampung Baru bukan setahun atau dua tahun. Ia akan ada fasa paling kurang memakan masa 12 tahun atau lebih kerana tanah luas.

Kerisauan ditimbulkan, sudah elok duduk di kampung, takut nanti tiba-tiba duduk di rumah PPR pula.

KHALID: Penyewa rumah di Kampung Baru sekarang setahu saya dia bukan sewa dengan RM100 sebulan, sewa paling kurang RM500 sebulan, rumah yang kita akan bina rumah mampu milik sebahagiannya mungkin tidak dijual atau terus dimiliki oleh DBKL dan sebagainya. Kita boleh sewakan dengan harga yang sama RM500 dengan keadaan jauh lebih selesa daripada rumah sedia yang sempit tetapi dia sewa ramai-ramai. Kalau boleh sewa rumah mampu milik, 800 kaki persegi yang, dia boleh sewa di situ.

Seawal mana hendak mula, adakah perlu tergesa-gesa?

KHALID: Tidak perlu tergesa-gesa, kita akan berjumpa dengan semua pemilik pada 21 September ini bersama Tun Dr. Mahathir. Pada masa itu kita akan dedahkan semua perancangan yang ingin dilakukan, jumlah rumah, jumlah bangunan komersial, pusat beli-belah, bangunan pejabat, semua kita akan dedahkan. Kalau kita dapat persetujuan semua orang, maka insya-Allah kita boleh muktamadkan reka bentuknya.

Ada orang hendak beri pandangan fasal design akan diberikan ruang dan Dr. Mahathir pun ada cadangan reka bentuk yang hendak dikemukakan dan bila sudah muktamadkan mungkin pada pertengahan pertama tahun depan kita boleh mula fasa pertamanya.

Ini semua banyak bergantung kepada keadaan tetapi pembayaran kepada pemilik juga ikut fasa. Semuanya bergantung kepada apa yang akan berlaku pada 21 September depan. Kalau semua berjalan lancar, paling awal saya rasa pada pertengahan 2020 kita boleh mula melihat pelaksanaannya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas