Berita

Program Khidmat Komuniti PPj, berhasil lahirkan usahawan setempat

IZANINA (kiri) ketika hadir dalam Program Kulinari Komuniti Putrajaya 2021 di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 1 Mac 2021 10:00 AM MYT

BERDASARKAN perangkaan, sehingga Disember tahun lalu, sejumlah 200 usahawan kecil dalam kalangan komuniti di Putrajaya berjaya dihasilkan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan Program Latihan & Pembangunan Komuniti.

Program dikendalikan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) itu antara perintis bagi melahirkan komuniti usahawan kecil berwibawa menjana pendapatan dalam persekitaran penempatan yang terancang di Pusat Pentadbiran Kerajaan itu.

Berkonsep latihan keusahawanan jangka pendek, program dianjurkan itu, kata Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Komuniti PPj, Izanina Hajemi, dibuat secara berkala mulai 2018, berjaya menarik minat komuniti Putrajaya mendalami asas perniagaan dalam pelbagai jenis bidang secara kecil-kecilan.

Malah katanya, kursus latihan selama dua hari itu dengan yuran penyertaan RM50 setiap peserta, berbaloi bagi menimba ilmu asas keusahawanan meliputi pelbagai bidang seperti kulinari, jahitan, masakan dan produk kraf tangan boleh disertai warga Putrajaya yang berminat.

“Untuk edisi pertama tahun 2021, kami tampilkan Program Kulinari Membuat Biskut dan Masakan Menu Bajet untuk para peserta seramai 30 orang dengan sagmen dikendalikan oleh pakar kek dan pastry terkenal, Cef Anuar yang berkongsi tip-tip menarik selain perkara terpenting dalam kulinari sajian biskut serta cookies.

“Selain pengetahuan berkaitan dengan pemilihan dan penyediaan bahan, cara masakan yang betul serta kualiti rasa cookies dihasilkan, peserta juga didedah dengan pengiraan kos serta pemasaran produk bagi membolehkan mereka mulai sendiri perniagaan secara kecil daripada rumah,” katanya dalam Program Kulinari Komuniti Putrajaya 2021 di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.

Program Komuniti kali ini menyajikan pesertanya asas membuat 5 jenis cookies iaitu, Tart Gulung Chese, Bangkit Chese, Norris Cookies dan kuih Chocolate Chip Banjir pada hari pertama diikuti penyediaan Masakan Menu Bajet seperti kerutuk ayam, gulai ikan tongkol, nasi kerabu serta nasi dagang pada hari terakhir.

Lebih menarik kata Izanina, selain mendedahkan peserta dengan ilmu asas keusahawanan, modul diterap berupaya dikembangkan bagi memulakan perniagaan sendiri di rumah dengan berbekalkan komitmen, minat dan kesungguhan diri peserta untuk menjana pendapatan.

“Selain nilai tambah komuniti tingkat taraf hidup masing-masing, kami juga jalinhubung usahawan yang komited dengan pihak industri atau agensi. Contohnya, pengusaha kraf tangan hasil program lalu kini bersama Kraftangan Malaysia yang sedia tempatkan produk mereka di kedai Karyaneka.

“Selain itu kami Bahagian Perkhidmatan Komuniti turut hubungkan usahawan dengan sebuah Kelab Usahawan PEB  (KUPPUTERA) di Putrajaya sebagai hab mereka berkembang serta memasarkan produk secara sistematik,” ujarnya.

Penyertaan komuniti setempat dalam setiap sesi program dianjur, berhasil dan membuka peluang menjana pendapatan antaranya pengusaha kraf tangan, tukang jahit, pengusaha cookies serta penyedia menu masakan.

“Lebih signifikan, program ini membuka peluang komuniti jana hasil sampingan, beroperasi dari rumah tanpa memerlukan modal besar. Jadinya, dalam situasi penularan pendamik Covid-19 yang memberi kesan kepada masyarakat, menjadikan Program Komuniti ini signifikan bagi mereka yang terkesan dengan memanfaatkan kursus disertai untuk mencari rezeki,” ujarnya. – SYAHIDI BAKAR WILAYAHKU –

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas