Selebriti

“Kalau ikhlas, orang akan cari kita”… Liza Abdullah kongsi tip kejayaan

- Diterbit 7 Mei 2022 12:17 PM MYT

PELAKON drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Liza Abdullah,57, mengaku sentiasa bersyukur rezekinya murah dalam bidang lakonan.

Hampir empat dekad bergelar pelakon, pemilik nama sebenar, Norliza Abdullah tidak menyangka, pada usia ‘senja’, dirinya masih diterima peminat serta menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk berkarya.

“Dengan bakat kurniaan Tuhan ini, saya beroleh rezeki. Tidak pernah terfikir mengenai anugerah. Saya ikhlas dan bekerja keras demi kelangsungan hidup dan membesarkan anak.

“Saya percaya kalau ikhlas dan buat yang terbaik, orang akan cari kita. Biar nama kita meniti di bibir orang. Akhirnya, hasil kerja kita yang berbicara, bukan populariti yang datang dan pergi.

“Saya berpegang kepada prinsip tak perlu kongsi apa-apa pun secara terbuka termasuk di media sosial. Termasuklah kalau rasa dikhianati, kena tipu dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh kisah hari rayanya, Liza akui Syawal kali ini agak istimewa dengan kehadiran cucu sulung, Nadine Alya.

Kata Liza, dia sekeluarga mengambil keputusan untuk beraya di KL secara sederhana.

“Saya sejak dahulu keutamaan dalam apa jua perkara termasuk sambutan raya lebih kepada anak. Saya tidak kisah perihal berganti baju sendiri. Yang penting baju raya anak.

“Untuk saya sendiri cukuplah sepasang jubah atau memadai sediakan sehelai baju kurung. Tahun ini memang saya teruja lain macam sebab bertambah meriah dengan kehadiran cucu,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas