Selebriti

Konflik ibu OKU dan anak dalam Am’ma dekat di hati masyarakat

Sabri Yunus
- Diterbit 7 Mei 2022 1:40 AM MYT

SEMPENA Hari Ibu yang bakal disambut pada 8 Mei ini, syarikat penerbitan Dream At Work Sdn Bhd (DAW) muncul dengan karya hebat iaitu sebuah telefilem berjudul Am’ma yang ditayangkan di saluran TVOkey, jam 3 petang, Ahad ini.

Telefilem arahan pengarah berkaliber Sabri Yunus itu menampilkan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29, Sangeeta Krishnasamy, Kashika Selvam, Angeline Tan dan Armand Ezra.

‘NADI’ telefilem Am’ma… Dari kiri: Penolong Pengarah Man Kobena, Sabri Yunus, Penerbit Datuk Razlan Ismail dan Pengarah Fotografi Shah Faizul

Penerbitnya, Datuk Muhammad Razlan Ismail berkata, Am’ma asalnya adalah naskah filem pendek nukilan terbaik daripada Pembangun Kandungan DAW Cik Syazana Ghani.

“Warna kehidupan filem pendek, Am’ma ini amat selari dengan pegangan karya DAW dalam mengangkat kisah-kisah orang kecil masyarakat kita di Malaysia tanpa mengira siapa, warna dan mahupun agama. Filem pendek ini sebaiknya di layar besarkan agar ia sempurna untuk dijiwai oleh seluruh rakyat Malaysia bagi memahami kisah kita dan kisah seorang ibu.

“Idea dan naskhah ini terus dirujuk kepada idolanya yang juga mentor, arkitek seni dan perfileman negara, Sabri Yunus. Menerusi Sabri Yunus, Am’ma diolah dan diadun sempurna bagi menjadikan ia sebagai sebuah karya yang akan turut dingati dan paling penting, dijiwai oleh seluruh masyarakat yang menontonnya,” katanya.

SENTUHAN pengarah berkaliber Sabri Yunus pastinya menjadikan telefilem Am’ma sentiasa diingati.

Menariknya, filem pendek ini juga sudah memenangi anugerah bagi beberapa kategori di pertandingan filem pendek antara universiti di Malaysia dan tersenarai sebagai finalis di FITAWAVE Short Film Awards pada 2019 yang lalu.

Razlan berkata, pihaknya yakin Am’ma bakal menjadi naskhah yang diingati.

“DAW juga amat bersyukur apabila pihak RTM menyambut baik telefilem ini melalui proses ‘pitching’ yang diadakan tahun lalu.

“Saluran TVOkey juga bersetuju untuk mengangkat karya ini sebagai sebuah telefilem khas sempena Hari Ibu tahun ini. Am’ma turut dijayakan dengan baik oleh barisan pelakon hebat seperti Sangeeta Krishnasamy, Kashika Selvam, Angeline Tan, Armand Ezra, Bibiana Anthony dan DJ Nen Tebabo.

“DAW menjanjikan Am’ma bakal menjadi naskah yang diminati dan diingati oleh peminat drama tanah air dan seluruh masyarakat Malaysia amnya,” katanya.

LAKONAN hebat Sangeeta dan Angeline Tan dalam telefilem Am’ma akan disiarkan di TVOkey esok sempena Hari Ibu. 

Sementara itu, Sangeeta berkata dia sudah lama teringin bekerjasama dengan Sabri Yunus yang menyifatkan hasil kerjanya penuh kesenian, unik dan mendalam.

“Apabila pertama kali dengar jalan cerita, saya berasa terharu apabila Abang Sabri amanahkan kepada saya watak ini iaitu seorang ibu tunggal yang pekak dan bisu.

“Jalan cerita ini sangat dekat kepada realiti hidup orang kurang upaya (OKU) yang tidak berkemampuan di luar bandar. Sewaktu menjalani penggambaran di Kuala Pilah, Negeri Sembilan saya juga melihat keadaan dan cabaran harian yang dilalui oleh anak muda di situ yang membuat saya lebih memahami situasi mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Sangeeta juga pelakon filem Adiwiraku berkata telefilem Am’ma begitu dekat di hatinya.

“Cerita ini sangat dekat di hati saya, sebab ia mengangkat hubungan antara seorang ibu yang tidak boleh bercakap, tidak berpelajaran tinggi disebabkan keadaan hidup dan seorang anak yang tidak tahu ‘sign language’ yang inginkan kasih sayang ibunya dan bagaimana mereka mengatasinya melalui salah faham yang timbul,” katanya.

PENGARAH, para pelakon dan barisan krew telefilem Am’ma.

Am’ma mengisahkan konflik antara seorang ibu OKU (pekak dan bisu), Devika lakonan Sangeeta dan anak perempuannya, Anju (Kashika) yang normal. Perhubungan mereka sentiasa tegang akibat masalah komunikasi yang tidak sempurna antara mereka.

“Namun, secara diam anaknya cuba dalam memahami ibunya dan mempelajari bahasa isyarat. Ibunya secara terangan tetap mencuba mendekati dan memahami jiwa anaknya,” jelasnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas