Berita

Misi kedua, 66 rakyat Malaysia selamat tiba dari Wuhan

ANTARA 66 rakyat Malaysia bersama ahli keluarga mereka menjalani saringan dengan diawasi anggota Hazmat sebaik tiba di KLIA, Sepang pagi ini. Foto Facebook KKM
- Diterbit 26 Februari 2020 1:04 AM MYT

SEPANG – Pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak-anak mereka dari Wuhan, China ekoran wabak Covid-19 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Pesawat AirAsia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan kerajaan Malaysia itu, tiba pada pukul 6.50 pagi, lapor Bernama.

Seramai 66 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada jam 1.45 pagi ini.

Anggota Hazmat terlibat mengendalikan saringan ke atas penumpang yang tiba dari Wuhan di KLIA pagi ini. Foto Facebook KKM

Semalam, pesawat khas itu berlepas ke Wuhan di wilayah Hubei dari KLIA pada jam 5.58 petang.

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia serta dua pegawai Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat tersebut ialah 89 orang.

Mereka yang dibawa pulang itu akan melalui proses tapisan kesihatan yang sama seperti misi HADR pertama iaitu menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik tiba di tanah air.

Mereka yang bergejala akan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban manakala mereka ang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, bagi menjalani kuarantin selama 14 hari.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, melalui misi pertama HADR.

Sementara itu, kenyataan Wisma Putra menyebut, bilangan awal penumpang yang dijangka kembali ke Malaysia adalah 75 orang tetapi sembilan daripada mereka tidak dapat menyertai penerbangam itu atas pelbagai faktor.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas