Artikel

Kajian semula skim pencen perlu diperhalusi

|
- Diterbit 1 November 2019 5:52 AM MYT

Cadangan kerajaan untuk mengkaji semula skim pencen anggota perkhidmatan awam mengundang pelbagai reaksi dan pandangan dari segenap anggota masyarakat.

Kerajaan dijangka memperkenalkan mekanisme yang baharu bagi menggantikan skim pencen sedia ada yang dijangka dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 biliion setahun.

Cadangan ini bukanlah perkara baharu yang pernah dilakukan mana-mana kerajaan. Belanda, Denmark, Finland, Australia, Sweden, Norway, Singapura, Chile, New Zealand dan Kanada adalah antara 10 negara terbaik dalam menyediakan perkhidmatan dana pencen kepada rakyat mereka.

Mengambil iktibar dari pengurusan dana pencen dari negara berkenaan, sistem tersebut juga menggunakan mekanisme sama iaitu mewajibkan potongan gaji pekerja dan majikan sebagaimana diamalkan di Malaysia bagi mereka yang tidak memilih skim pencen.

Denmark memiliki beberapa skim pencen seperti skim asas pencen, skim sokongan pencen mengikut pendapatan dan skim pencen mandatori. Skim berkenaan dilihat telah menyumbang banyak kepada peningkatan pendapatan isi rumah, pengurangan hutang rumah dan perlindungan pendapatan kepada pasangan yang bercerai.

Berbicara mengenai skim pencen tidak lari dari membincangkan topik pelaburan dana yang perlu distruktur pihak kerajaan.

Kegagalan mengurus dana yang besar ini sudah pasti akan memberi impak negatif kepada pencarum-pencarum skim pencen sama ada dari kalangan penjawat awam mahupun swasta.

Penghapusan skim pencen, jika ia dilaksanakan akan membuka memberikan kuasa penuh pencarum untuk menguruskan wang yang diterima sekali gus untuk kegunaan mereka setelah bersara.

Hal ini memerlukan kepada keadah pengurusan kewangan setelah bersara yang mampan bagi memastikan wang tersebut cukup.

Jika tidak, masalah kemiskinan dan kemelaratan setelah bersara mungkin akan menjadi beban yang baharu bagi kerajaan.

Dari sudut pandang positif pula, pencarum skim yang tidak berpencen ini akan lebih berhati-hati dalam pengurusan dan penggunaan kewangan mereka terutama melibatkan hutang jangka panjang.

Sekalipun hutang isi rumah setakat tahun 2019 dilaporkan masih terkawal, masih terdapat lagi isi rumah yang memiliki margin pinjaman yang negatif terutamanya mereka yang berpendapatan bawah RM5,000.

Umur persaraan juga mungkin akan berubah kesan daripada perlaksanaan skim persaraan tanpa pencen.

Merujuk kembali kepada negara-negara di atas, secara purata umur persaraan mereka adalah 65.5 tahun. Di peringkat Asia, Hong Kong adalah antara negara yang menjadikan umur persaraan 65 tahun diikuti Jepun tertakluk kepada permohonan pekerja.

Singapura pula had minumum persaraan ialah 62 tahun. Namun kajian terkini yang dijalanan di Belanda, faktor jenis pekerjaan dan kesihatan memainkan peranan dalam menentukan kemampuan seseorang untuk terus bekerja pada usia melebihi 60 tahun.

Pelaburan

Di peringkat Pusat, kepelbagaian saluran pelaburan perlulah diwujudkan bagi menjamin pulangan yang baik bagi dana persaraan.

Kekurangan saluran pelaburan patuh syariah juga akan menjadi satu cabaran bagi syarikat pengurus dana.

Sekalipun dana ini boleh dilaburkan dengan merentas sempadan, risiko dan kos perlu juga diambil kira terutamanya di dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

Cadangan penstrukturan semula skim pencen perlukan kepada pertimbangan dan penelitian banyak pihak.

Apa yang paling penting ia tidak membebankan rakyat dan kebajikan rakyat perlu dijaga.

Apa pun skim yang akan dilaksanakan nanti sama ada pencen atau lainnya, kunci utama kepada kejayaan sesuatu pengurusan perbelanjaan itu adalah terletak kepada kebijaksanaan pengurus dana tersebut, individu, organisasi mahupun kerajaan.

Penulis merupakan pensyarah kanan Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas