Artikel

Teater rakyat Uda dan Dara

SEBAHAGIAN aksi dalam teater Uda dan Dara yang dipentaskan di Padang Merbok, Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto: Facebook Harlina Usman
- Diterbit 31 Oktober 2019 9:32 AM MYT

Pada Jumaat dan Sabtu lalu, 25 dan 26 Oktober menjadi satu catatan sejarah bagi Kuala Lumpur kerana berlangsungnya persembahan teater Uda dan Dara di Padang Merbok dengan prop yang realistik apabila suasana bendang dapat dihayati dengan jerami padi menjadi hamparan sebagai pentas dan kawasan tontonan.

Cuma nasib tidak menyebelahi persembahan kerana pada waktu ini, Kuala Lumpur dilanda hujan petang hingga ke malam pada setiap hari sejak minggu-minggu kebelakangan ini.

Maka begitulah juga apa yang berlaku pada persembahan hari Jumaat dan Sabtu. Hujan renyai memaksa penonton berpayung dan berbaju hujan tetapi ia tidak mengganggu pertunjukan. Para pelakon dengan semangat teater yang kuat teruskan persembahan sementara pendokong teater tegar tetap tidak berganjak.

Penulis menonton persembahan itu dalam hujan renyai. Memijak jerami yang basah dek ditimpa hujan menimbulkan aroma dan sensasi di bendang. Teater ini ternyata berjaya.

Tajuk rasmi persembahan itu ialah Teater di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019. Ia merupakan persembahan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama KL International Arts Festival 2019.

Ia berdasarkan karya Usman Awang dengan arahan Dinsman. Penampilan khas oleh Datuk Rahim Razali sebagai Utih, Ruzaidi Abd. Rahman sebagai Pak Guru, Bintang Musikalisasi Puisi Indonesia iaitu Qori Islami Aris dan Syahfira Harahap, Raja Syair Nusantara iaitu Roslan Madun dengan muzik oleh Kreatif Akustika.

Membuat teater memerlukan pasukan yang mantap dan itulah juga yang berlaku pada Uda dan Dara ini. Pengarah Artistiknya ialah Lena Farida Chin, Penerbit Eksekutif adalah M Nasser Mohamed, susunan muzik oleh Hajizam Malek Ridzuan, Penolong Pengarah (Lakonan) oleh Nadhilah Suhaimi, Penolong Pengarah (Mizik) ialah Shariffah Khadijah, Pengurus Produksi ialah Fara Dayana, Penasihat Produksi ialah Yassin Salleh dan Pengurus Pentas ialah Azman Masri.

Tentunya banyak individu yang mahir di sebalik persembahan teater ini. Daripada para pelakonnya hinggalah pada koreografer, pengurus teknikal, penata cahaya, pengurus set dan prop, pengurus kostum, pengurus tatarias, pesilat Jentayu Rimba II, gendang silat Gelanggang Tok Malim dan kru serta pelakon tambahan dari kalangan pelajar Jabatan Seni Persembahan UPSI serta kerjasama Rumah Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD).

Teater ini bersifat merakyat kerana kemasukannya adalah percuma dan disembahkan di Padang Merbok dan bukannya di Istana Budaya.

Maka usaha menjayakan teater ini memperoleh sokongan Kementerian Pertanian dan industri Asas Tani, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pendidikan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, PPTD dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Pertembungan

Sinopsis yang diberikan dalam risalah program menyatakan bahawa teater Uda dan Dara ialah pertembungan kelas antara kaum modal dengan petani miskin. Ia menggambarkan pengeksploitasian dan kezaliman yang mendapat tentangan dari kesepakatan masyarakat kampung untuk bangun dengan semangat perjuangan membara. Mereka bertindak dan berdepan dengan kelompok pemodal bagi menentang kezaliman dan penindasan demi menegakkan keadilan dan menjulang kebenaran.

Pertama kali penulis membaca naskhah Uda dan Dara ialah pada tahun 1973, ketika di tingkatan dua. Walaupun jalan ceritanya terus melekat dalam memori tetapi penulis sudah lupa di mana naskhah itu dibaca. Ia sama ada dalam buku yang dipinjam dari perpustakaan atau disiarkan melalui majalah Dewan Sastera.

Tetapi penulis tidak pernah menonton persembahan naskhah ini, baik melalui teater mahupun lakonan yang disiarkan dalam bentuk drama di televisyen.

Maka Muzika Uda dan Dara inilah buat pertama kali penulis menontonnya. Bagi Dinsman pula, sebelum ini telah mengarah persembahan Uda dan Dara di sawah padi di Tanjung Karang, Selangor tidak lama dulu.

Namun penulis pernah menonton teater yang disembahkan oleh Dinsman seawal tahun 1976, iaitu ketika penulis berada di tingkatan lima. Dua naskhah teater yang diarahkan oleh Dinsman itu adalah Protes dan Bukan Bunuh Diri yang disembahkan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kedua-duanya menjadi sebahagian daripada memori abadi penulis. Lebih-lebih lagi Protes membawa mesej yang serupa dengan novel Protes karya Shahnon Ahmad. Teks naskhah Protes turut disiarkan dalam majalah Dewan Sastera.

Pertama kali penulis mengetahui mengenai Dinsman adalah juga dari majalah Dewan Sastera pada tahun 1974, yang mana terdapat sebuah rencana dengan gambar melaporkan persembahan teater mengenai Hang Jebat. Teater arahan Dinsman itu memaparkan Hang Tuah, Hang Jebat dan Istana Melaka dengan kostum moden.

Dewan Sastera terbitan DBP adalah hasil usaha Usman Awang yang pada awal pengeluarannya turut mendanainya kerana ketiadaan peruntukan rasmi.

Tetapi pertama kali penulis bertemu Dinsman adalah pada tahun 1988 di pejabatnya di Plaza Pekeliling. Ketika itu beliau bersama dengan Grup Teater Elit (GTE). Di belakang kumpulan ini ialah juga Usman Awang.

Usman Awang adalah Sasterawan Negara yang telah mencorak minda kesusasteraan nasional. Karya-karyanya, antologi puisi Duri dan Api, novel Tulang-tulang Berserakan dan naskhah drama Tamu di Bukit Kenny adalah merupakan bukan saja bacaan sekolah tetapi menanam nilai-nilai kemanusiaan dalam kesedaran nasional Malaysia.

Dinsman telah mewarna suasana budaya di Kuala lumpur sejak tahun 1970-an. Teater adalah kegiatan yang perlu ada di mana-mana bandar raya dunia. Kuala Lumpur juga mempunyai kegiatan teater sejak negara merdeka.

Ketika Muzika Uda dan Dara ini dipersembahkan, juga sedang berlangsung satu teater yang juga hebat. Ia berdasarkan pada naskhah Dato’ Seri hasil karya Allahyarham Tan Sri Mohammad Ali Hashim dan arahan Omar Ali yang merupakan adaptasi daripada Macbeth oleh William Shakespeare.

Persembahan kali ini dibuat adaptasi dan diarahkan oleh Anwar Rusdini dengan tajuk Muzikal Zapin Dato’ Seri. Ia disembahkan di panggung baharu Teater Eksperimental Aswara pada 25, 26 san 27 Oktober lalu. Produksinya dihasilkan oleh Mahakarya Studio dengan melibatkan pelajar-pelajar dan alumni UiTM Shah Alam.

Pada awalnya, kegiatan teater di Kuala Lumpur diadakan di Panggung Drama atau Taman Budaya iaitu di sebuah bangunan warisan terletak di Jalan Tun HS Lee yang kini menempatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Kuala Lumpur mempunyai Istana Budaya, Panggung Bandaraya, KLPac dan panggung-panggung eksperimental di Aswara, DBP dan Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas