Artikel

Siapa yang perlu dipersalahkan?

GAMBAR Hiasan
- Diterbit 1 November 2019 5:55 AM MYT

PEMBEBASAN seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 dipertikaikan warga netizen yang merasakan keputusan tersebut tidak wajar.

Untuk warga netizen yang mempersoalkan keputusan Majistret Siti Hajar Ali pada 28 Oktober lalu, adakah kesalahan tersebut perlu diletakkan sepenuhnya ke atas pemandu terbabit, Sam Ka Ting?

Ini kerana, tragedi menyayat hati tersebut tidak akan berlaku sekiranya kanak-kanak terbabit berada di tempat sepatutnya iaitu di dalam rumah, berikutan kemalangan terjadi pada pukul 3 pagi. Sepatutnya pada waktu itu, mereka sedang nyenyak dibuai mimpi di rumah.

Warga netizen yang sering menghukum dan persatuan-persatuan yang suka membuat laporan polis sepatutnya tampil ke balai polis berhampiran dan membuat laporan supaya siasatan serta tindakan dapat dikenakan ke atas ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Ibu bapa terbabit sepatutnya dihukum kerana cuai dalam menjaga anak-anak sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Penguatkuasaan yang tegas perlu dilakukan seperti di beberapa negara Barat yang mengenakan hukuman setimpal ke atas ibu bapa atau penjaga yang cuai dan mengabaikan anak-anak sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Hukuman yang diambil ke atas ibu bapa dianggap sebagai tindakan untuk mengurangkan kadar kes seperti itu daripada berulang.

Di Malaysia, walaupun banyak kejadian membabitkan kanak-kanak seperti culik, lemas di dalam kenderaan dan kemalangan terjadi, namun penguatkuasaan Seksyen 33 masih tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Lebih menghairankan apabila ibu bapa terlibat bukan sahaja tidak mengaku kesalahan sendiri kerana gagal menjaga anak-anak, mereka sebaliknya menyalahkan pihak berkuasa seolah-olah pasukan berkenaan ditugaskan untuk memantau anak-anak mereka dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Sehubungan itu, kerajaan wajar mengkaji semula pelaksanaan peruntukan undang-undang sedia ada sekali gus mengurangkan kemalangan atau kematian membabitkan kecuaian ke atas kanak-kanak yang merupakan pewaris masa hadapan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas