Berita

Kadar rizab tenaga di Semenanjung diunjur 28-36 peratus bagi tahun 2024-2030

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 18 Mac 2024 3:30 PM MYT

KADAR rizab margin tenaga di Semenanjung bagi tahun 2024 hingga 2030 diunjurkan antara 28 hingga 36 peratus, iaitu berada atas paras minimum yang mampu untuk menampung permintaan bekalan elektrik sekiranya berlaku gangguan bekalan di mana-mana loji janakuasa.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tahap rizab margin tenaga itu akan dikekalkan sebagaimana perancangan Jawatankuasa Perancangan Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) bagi memastikan kos pembekalan elektrik yang mampu dibayar oleh pengguna.

“Rizab tenaga yang ditetapkan (diunjur) ini merangkumi bekalan elektrik yang dijana dari loji-loji janakuasa yang dikendalikan syarikat-syarikat penjana tenaga dari sumber gas, arang batu dan tenaga boleh baharu.

“Pembekalan elektrik daripada syarikat-syarikat penjana tenaga dari sumber fosil dan bukan fosil ini pastinya akan mewujudkan kepelbagaian sumber bagi penjanaan bekalan elektrik agar keselamatan sistem bekalan elektrik negara sentiasa terjamin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang ingin tahu unjuran peningkatan keperluan tenaga bagi menampung permintaan industri dan pengangkutan elektrik, serta adakah kerajaan bersedia memberi peluang kepada syarikat lain untuk terlibat dalam sektor tenaga agar rizab tenaga negara ditingkatkan.

Akmal Nasrullah berkata JPPPET yang ditubuhkan untuk menentukan perancangan pembekalan tenaga serta hala tuju industri bekalan elektrik negara merupakan usaha kerajaan bagi memastikan sumber tenaga elektrik negara dapat dibekalkan dengan mencukupi, secara lestari dan pada kadar harga yang mampu ditanggung oleh pengguna.

Beliau berkata dalam mesyuarat JPPPET pada 24 Nov tahun lepas, unjuran keperluan tenaga bagi menampung permintaan pengguna bekalan elektrik di Semenanjung termasuk permintaan industri serta pengangkutan elektrik telah dibincang dan diluluskan.

“Sebagai contoh, unjuran permintaan bekalan elektrik di Semenanjung bagi tahun ini adalah 19,480 megawatt (MW) dan kita jangkakan menjelang tahun 2030, ia akan cecah 20,049MW iaitu peningkatan sekitar 2.9 peratus,” katanya.

Menurutnya antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan unjuran itu adalah peningkatan kegiatan ekonomi, perkembangan industri seperti kemasukan pusat data, pengoperasian semula aktiviti ekonomi dan sosial pascapandemik COVID-19 dan peningkatan unjuran kenderaan elektrik.

Menjawab soalan tambahan Amirudin mengenai sejauh mana Malaysia bersedia dari segi tenaga jika banyak syarikat luar terutama dalam sektor pembuatan semi konduktor memilih untuk melabur dalam negara berikutan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, Akmal Nasrullah berkata beliau yakin JPPPET akan menyemak semula permintaan tenaga yang diperlukan.

“Mesyuarat JPPPET ini lazimnya diadakan setahun sekali dan selain menentukan perancangan pembekalan tenaga elektrik serta hala tuju industri bekalan negara, ia juga untuk menentukan dasar mengenai campuran bahan api untuk kegunaan sektor elektrik agar sumber tenaga negara dapat digunakan secara optimum,” katanya. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas