Berita

Kadar bayaran zakat tidak membebankan, jadi tanggungjawab umat Islam

KEMUDAHAN bayaran zakat di kaunter turut disediakan oleh PPZ-MAIWP untuk keselesaan pelanggan.
- Diterbit 16 Mac 2021 6:43 AM MYT

KADAR bayaran zakat ditetapkan iaitu hanya 2.5 peratus daripada jumlah harta atau pendapatan yang wajib dizakatkan, tidak membebankan bagi umat Islam di negara ini.

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, kadar zakat itu adalah berpatutan memandangkan lebihan 97.5 peratus pendapatan masih boleh dibelanjakan.

Beliau berkata kewajipan berzakat mensyaratkan setiap orang Islam yang mempunyai pendapatan atau harta melebihi nisab (RM20,299) dan cukup haul wajib mengeluarkan 2.5 peratus daripadanya untuk tujuan berzakat.

“Apalah sangat 2.5 peratus daripada jumlah 100 peratus rezeki yang kita dapat daripada Allah itu dibelanjakan untuk berzakat sebagai satu kaedah membangunkan ekonomi Islam.

“Sebagai contoh, pendapatan tahunan RM30,000 didarab 2.5 peratus untuk zakat wajib dikeluarkan adalah RM750 setahun atau pun RM62.50 sahaja sebulan,” katanya dalam posting dimuat naik ke laman Facebook miliknya, semalam.

Sementara itu, pelbagai kelebihan boleh didapati oleh mereka yang berzakat di PPZ-MAIWP, iaitu termasuk layak untuk mendapat pelepasan cukai pendapatan LHDN.

Menurut Syed Ali, masih ramai sebenarnya warga masyarakat tidak tahu mengenai kelebihan yang didapati dan amat merugikan jika dimanfaatkan

Katanya, pelbagai kemudahan pembayaran zakat disedia PPZ-MAIWP untuk keselesaan pelanggan, termasuk bayaran melalui Skim Potongan Zakat Bulanan, yang ternyata lebih mudah dan cepat. .

“Selain itu, satu lagi skim bagi kurangkan beban menunaikan zakat secara lump sum atau bayaran penuh sekaligus.

“Pembayar zakat di PPZ-MAIWP dilindungi Skim Kafalah Muzaki atau khairat kematian disumbang kepada waris jika berlaku kes kematian terhadap pembayar zakat,” jelasnya.

Selain itu, PPZ-MAIWP juga punyai Skim Wakalah yang menyediakan peluang bagi pembayar zakat agihkan sendiri kepada asnaf memerlukan. Bagi majikan yang memohon Skim Wakalah, ia boleh memanfaat wang zakat itu dengan menyalurkan kepada kakitangan yang memerlukan.

Dalam pada itu, Syed Ali mengakui perlu memikul tugas berat sepanjang sembilan bulan menjadi Pengerusi PPZ-MAIWP, perlu bertanggungjawab memastikan kutipan zakat Wilayah Persekutuan meningkat supaya dapat disalurkan kepada asnaf yang memerlukannya.

“Banyak manfaat menunaikan zakat terutama di PPZ-MAIWP, selain pengecualian cukai, mereka dilindungi skim khairat kematian, berzakat secara spiritual kuatkan iman, dekatkan diri kepada Allah selain menambah rezeki dan berkat,” ujarnya.

Syed Ali turut menyeru setiap orang bekerja atau mencari nafkah di Wilayah Persekutuan supaya berzakat di PPZ-MAIWP termasuk para penjawat awam dan swasta perlu memanfaat kemudahan berzakat melalui kaedah potongan gaji.

“Pihak syarikat atau majikan juga digalakkan agar membayar zakat mereka menerusi PPZ-MAIWP,” dan boleh memohon skim wakalah yang boleh dimanfaatkan untuk menyalurkan kepada pekerja yang memerlukan,” katanya. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

BOX INFO
Kemudahan bayaran zakat di PPZ-MAIWP boleh dilakukan melalui saluran-saluran berikut:

 Portal rasmi www.zakat.com.my
 10 kaunter PPZ-MAIWP di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan
 Perkhidmatan Door to Door hubungi Taliannya 1-300-88-5757
 Potongan zakat bulanan boleh didaftarkan di http://ptg.zakat.com.myzakat.com.my

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas