Berita

Kabinet bincang pelaksanaan e-bazar ganti Bazar Ramadan esok

KONSEP E-Bazar membolehkan orang ramai menempah makanan untuk berbuka puasa melalui dalam talian. Gambar hiasan
- Diterbit 14 April 2020 9:59 AM MYT

PUTRAJAYA – Cadangan pelaksanaan E-Bazar bagi menggantikan Bazar Ramadan akan dibincangkan dalam  mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu, perkara itu berikutan terdapat beberapa pandangan berhubung hal tersebut iaitu konsep pesan dan hantar selain pesan dan ambil di gerai jualan berkemungkinan menyebabkan pergerakan keluar beramai-ramai.

Katanya, idea pelaksanaan E-Bazar ini adalah bagi mengurangkan alasan bagi seorang individu untuk keluar dari rumah.

“Kalau ada tempat mengambil dan membeli akhirnya pihak polis mengalami kesukaran.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, mereka memberikan alasan saya sudah order barang dan hendak pergi pick-up.

“Semua guna alasan sama, semua orang keluar. Justeru, kita ingin mengurangkan alasan sebegini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri menjelaskan semua bentuk Bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP.

Keputusan itu dibuat bagi memutuskan penularan wabak Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas