Berita

Bangunan KWP di Menara Seri Wilayah jalani proses disinfeksi esok

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 14 April 2020 9:30 AM MYT
BANGUNAN Menara Seri Wilayah di Presint 2, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Kedua-dua blok Menara Seri Wilayah yang menempatkan pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menjalani proses disinfeksi esok berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pegawai kementerian tersebut baru-baru ini.

Blok 2 di menara tujuh tingkat itu menempatkan pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya serta kakitangan kementerian.

Ia juga menempatkan kafeteria dan taska selain agensi seperti Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pejabat editorial Wilayahku yang terletak di tingkat 9, Blok 1 menara berkenaan pula dijadual menjalani proses disinfeksi pada Jumaat ini.

Blok berkenaan turut menempatkan beberapa kakitangan beberapa agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) serta gimnasium.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, pihaknya telah berunding dengan syarikat MRCB Bhd. untuk melakukan proses disinfeksi di kawasan dalam bangunan KWP secara percuma bermula esok.

“Kerja-kerja disinfeksi kini akan turut dilakukan dalam bangunan terutamanya apabila berlaku kes positif. Mereka telah memberikan komitmen di KWP kerana sudah ada kes positif berlaku,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya hari ini.

Sesi itu turut disiarkan secara langsung melalui laman Facebook KWP dan Wilayahku.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, bangunan-bangunan di kawasan sekitar Masjid India yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) turut perlu dilakukan proses disinfeksi melibatkan ruang dalaman premis terbabit.

“Kita juga mendapat penjelasan bahawa kawasan zon merah, pekerja-pekerja disinfeksi perlu mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) ketika melaksanakan kerja-kerja tersebut sama ada di kawasan lif, lobi, koridor dan tempat yang boleh dimasuki,” katanya.

Justeru katanya, mana-mana bangunan termasuk milik kerajaan di Wilayah Persekutuan jika berlaku kes positif Covid-19 perlu dimaklumkan kepada Pusat Pengurusan Krisis (CMC) untuk dilakukan gerakan disinfeksi di dalam bangunan.

Katanya, proses disinfeksi di luar bangunan akan terus berjalan dengan mengutamakan lokasi zon merah. – WILAYAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas