Berita

Jangan ambil mudah siar berita palsu kemudian padam

- Diterbit 14 April 2020 10:16 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan bahawa pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih boleh meneruskan siasatan meskipun sesuatu posting berita palsu telah dipadam dari laman sosial.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi terhadap individu yang cuba mengugat keamanan negara dengan menyebarkan berita palsu terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Kita dengar baru-baru ini, ada seorang individu mengeluarkan berita palsu selepas itu minta maaf dan memadamkan.

“Saya difahamkan polis memanggil individu tersebut untuk disoal siasat. Jangan fikir keluar (posting) , minta maaf dan padam kerana itu tidak menyelesaikan masalah,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau menjelaskan PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka 217 kertas siasatan (IP) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Kata Ismail Sabri, daripada jumlah tersebut menyaksikan 162 IP masih dalam siasatan, didakwa di mahkamah (23) dengan empat telah mengaku bersalah atas kesalahan mereka.

“Justeru, saya memohon supaya jangan melakukan perkara menyusahkan diri sendiri yang akhirnya ditanggung diri sendiri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas