Berita

Juru kimpal tawan patin 11.5kg

PEMENANG-PEMENANG bergambar selepas majlis penyampaian hadiah Siri 5 JPKL 2019 di Taman Tasik Ampang hilir baru-baru ini.
PEMENANG-PEMENANG bergambar selepas majlis penyampaian hadiah Siri 5 JPKL 2019 di Taman Tasik Ampang hilir baru-baru ini.
- Diterbit 19 Julai 2019 12:42 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kaki pan­cing yang baharu pertama kali menyertai Pertandingan Memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di Taman Tasik Ampang Hilir baru-baru ini terkejut apabila dia dinobatkan sebagai juara Siri 5 pertandingan itu.

Kamarulzaman Maujud yang bekerja sebagai juru kimpal berjaya menaikkan ikan patin se­berat­ 11.59 kilogram (kg) kira-kira satu minit sebelum wisel tamat pertandingan ditiupkan sekali gus menewaskan 800 peserta lain.

Menurut peserta yang berusia 51 tahun itu, dia tidak menyangka ikan yang berjaya dinaikkan saat akhir turut memintas pendahulu pertandingan berikutan selama ini dia lebih banyak menonton berbanding menyertai acara ter­sebut.

“Saya tidak menduga sama sekali nama saya diumumkan sebagai juara. Selama ini saya lebih terarah mengikut rakan pancing sambil menonton pertandingan sahaja.

“Saya sertai pertandingan kali ini kerana yuran pertandingan murah,” katanya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta hadiah iringan Oyoshi Green Tea, Igloo-UFL dan Pure Fishing Sdn. Bhd.

Ujar bapa kepada lima cahaya mata itu lagi, dia akan terus menyertai acara pancing anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada masa akan datang.

Pada pertandingan itu, tempat kedua dimenangi Hidayat yang membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 selepas mendaratkan ikan patin seberat 10.5 kg manakala tempat ketiga pula disandang Roslan Md. Yusof menerusi tarikan patin seberat 6.29 kg dan membawa pulang RM1,000.

Bagi kategori khas ikan keli, nasib nyata menyebelahi Mohd. Raziman, Fauziman dan Acing yang masing-masing menaiki podium tiga tempat teratas dan berjaya membawa pulang wang tunai RM300, RM200 dan RM100.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, acara memancing diadakan bagi memupuk minat warga kota dan menjadikannya sebagai salah satu aktiviti riadah bersama keluarga.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas