Berita

Kongsi nilai sejarah Labuan

SEBAHAGIAN peserta mendengar dengan minat pembentangan pada Program Bicara @Muzium di Dewan Darul Kifayah baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta mendengar dengan minat pembentangan pada Program Bicara @Muzium di Dewan Darul Kifayah baru-baru ini.
- Diterbit 19 Julai 2019 12:39 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Kekayaan nilai sejarah yang dicatatkan Labuan boleh menjadi satu elemen penting untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau bebas cukai ini.

Justeru penganjuran wacana ilmu bertajuk Pulau Labuan Sebagai Jaringan Maritim Dalam Sejarah British Borneo 1846-1923 yang diadakan baru-baru ini memberikan suntikan semangat untuk memajukan pulau ini sebagai destinasi utama di Borneo.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussein, wacana ini turut membuka minda semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama membangunkan Labuan dan pastinya ia memberikan kekuatan dengan setiap anggota masyarakat perlu bersatu padu membangunkan semula ekonomi pulau ini.

“PL akan bekerjasama untuk mempromosikan lagi sejarah lampau sebagai satu usaha untuk memperkenalkan Labuan sebagai kawasan pelancongan.

“Satu ketika dahulu, Labuan merupakan sebuah kepulauan yang strategik kepada pihak British dari segi logistik, maka kita perlu menggunakan nilai sejarah yang ada untuk mempromosikan Labuan,’’ katanya selepas Program Bicara@Muzium di Dewan Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Wacana ilmu itu dihadiri kira-kira 250 penduduk Labuan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Amir berkata, nilai sejarah yang dikongsikan oleh para ahli sejarah dalam pembentangan tersebut telah menunjukkan betapa bernilai pulau ini.

“Para peserta juga didedahkan bahawa Labuan satu ketika dahulu pernah dijajah oleh Sepanyol dan Portugis dan kedua-dua negara tersebut menjadikan Labuan sebagai hab untuk mengeksport bahan perdagangan,’’ katanya.

Terdahulu Pemangku Pengarah Muzium Labuan Muhammad Nazli Ho Abdullah berkata, pelbagai rentetan sejarah telah mewarnai Labuan dan elemen keunikan serta keistimewaannya membuatkan pulau ini diberi jolokan mutiara Borneo.

“Labuan pernah berada di bawah naungan Brunei pada kurun ke-16 sebelum dikuasai beberapa kuasa kolonial termasuk British dan pada 1984 ia diisytihar menjadi Wilayah Persekutuan kedua selepas Kuala Lumpur.

“Kedudukan yang strategik untuk pelabuhan dan kekayaan sumber aslinya seperti arang batu menjadikan Labuan sebagai sebuah pangkalan koloni yang didambakan oleh kuasa-kuasa asing pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas