Berita

Jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak terus meningkat

BANJIR di Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan pagi ini. Gambar- Fail/NSTP
- Diterbit 21 Mei 2021 4:18 AM MYT

JUMLAH mangsa banjir di Sabah dan Sarawak terus merekodkan peningkatan pagi ini dengan Sabah merekodkan 1,447 mangsa berbanding 332 petang semalam, manakala Sarawak seramai 350 orang berbanding 79 mangsa semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan pagi ini berkata Tenom merupakan daerah paling teruk terjejas apabila 1,149 mangsa banjir dipindahkan dari kediaman mereka di daerah itu, manakala Beaufort (294) dan Sipitang (empat).

Menurutnya sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Tenom dengan Dewan Sri Ontoros menempatkan mangsa teramai berjumlah 476 orang, Rumah Kebudayaan Angalor (226), Dewan Mini Jinuin Jimin (160), Rumah Kebudayaan  Pamaluyan (88).

Rumah Kebudayaan Marias (72), Dewan Gereja (RC) Kampung Bangkulin (55), Rumah Kebudayaan Kalibatang Lama (34), Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (26) dan Rumah Kebudayaan Mamaitom (12).

Sementara di Beaufort, PPS Dewan DP Mohd Dun Banir menempatkan 294 mangsa manakala di Sipitang, iaitu Dewan Sindumin Sipitang menempatkan empat mangsa.

“Trend mangsa di PPS kian meningkat disebabkan keadaan di beberapa daerah yang dinaiki air dan pasukan menyelamat dalam proses memindahkan mangsa ke PPS.

“Pertambahan jumlah mangsa banjir dipercayai berpunca daripada hujan lebat di kawasan berkenaan, yang mengakibatkan paras air di beberapa sungai melimpah, dan menenggelamkan beberapa jalan serta kampung,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS yang dibuka di daerah Lawas dan Limbang, di bahagian utara negeri.

Empat PPS di Lawas yang dibuka terdiri daripada Dewan Masyarakat Trusan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Trusan, Sekolah Kebangsaan Sundar serta Sekolah Kebangsaan Lintang, manakala PPS di Limbang dibuka di Dewan Medamit.

Banjir di dua kawasan itu berpunca daripada hujan lebat sejak malam Rabu.

Sementara itu banjir di Melaka sudah hampir pulih pagi ini apabila hanya tinggal satu PPS yang masih beroperasi Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek menempatkan 33 mangsa, berbanding 133 mangsa ditempatkan di dua PPS di Melaka petang semalam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas