Berita

Shahidan nafi semalam banjir kilat di KL

SHAHIDAN menegaskan tiada sebarang kejadian banjir berlaku di Kuala Lumpur, semalam.
- Diterbit 4 Ogos 2022 7:06 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan dakwaan yang mengatakan berlakunya lagi kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur pada semalam.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang kejadian banjir kilat berlaku di ibu negara ini meskipun hujan lebat turun di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur semalam.

“Terdapat kekeliruan di kalangan rakyat yang menyangkakan berlakunya sekali lagi banjir kilat di sini semalam selepas sebuah media elektronik menyiarkan ‘footage’ lama banjir yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau juga akan merujuk kepada sidang media Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh yang berlangsung semalam di Pusat Media Parlimen.

“Saya difahamkan Jawatankuasa tersebut mengadakan prosiding mengenai pengurusan mitigasi banjir di Kuala Lumpur berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1.

“Justeru itu, saya bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan hadir sekiranya dipanggil oleh PAC dan sedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.  — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas