Berita

Jualan Agro MADANI: Hampir setengah tan ayam habis dijual dalam masa tidak sampai 30 minit

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Disember 2023 5:55 PM MYT

HAMPIR setengah tan ayam, 100 papan telur ayam gred C dan 100 kampit beras 10 kilogram (kg) habis dijual dalam masa kurang setengah jam pada Jualan Agro MADANI di tempat letak kereta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini hari ini.

Sambutan menggalakkan itu menyebabkan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terpaksa mengehadkan hanya seorang pembeli boleh mendapatkan satu unit ayam, telur dan beras.

Pada jualan hari ini, 2.2 kg ayam dijual pada harga RM10, satu papan telur ayam gred C (RM12.50) dan setiap kampit beras 10 kg (RM26).

Menurut jurucakap FAMA yang ditemui ketika jualan itu, ayam, telur dan beras merupakan barangan keperluan popular setiap kali jualan seumpama itu diadakan.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung tiba seawal 7.30 pagi membeli pelbagai produk makanan seperti nasi lemak berlauk, nasi ambeng, soto, dan nasi gulai kawah utara untuk sarapan sambil menunggu jualan ayam, telur dan beras yang bermula pada 10 pagi.

Turut dijual pelbagai buah-buahan seperti mangga lemak, pisang dan pomelo Sabah serta produk citarasa Malaysia seperti kerepok lekor Saudagar Leqor, Pekasam Mak Ngah dan Apam Balik Nurul Ima.

Jualan Agro MADANI kali ini adalah anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan (ANULAE) Cawangan Majlis Perbandaran Selayang dengan 15 usahawan FAMA mengambil bahagian pada sesi jualan yang berlangsung hingga 2 petang.

Program Jualan Agro MADANI adalah penjenamaan semula program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dianjurkan FAMA dengan kerjasama strategik agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Inisiatif ini membantu rakyat di seluruh negara mendapatkan bekalan produk segar dengan mudah pada harga berpatutan dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran tempatan. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas