Berita

Jualan Agro MADANI bantu pengguna berjimat, tingkat pendapatan peniaga

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Disember 2023 5:50 PM MYT

PROGRAM Jualan Agro MADANI di bawah inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di sini bukan sahaja membantu pengguna berjimat melalui penawaran barang keperluan pada harga berpatutan tetapi juga meningkatkan pendapatan peniaga.

Penjawat awam, Roziah Rahmad, 40, berkata program jualan mingguan di kawasan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan itu amat membantu rakyat berjimat terutama dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Barangan keperluan asas seperti beras, minyak, sayur-sayuran dan daging yang dijual di Jualan Agro MADANI memang menjimatkan berbanding di pasar raya. Harga seekor ayam di pasar raya boleh mencecah RM20 tapi di sini (Jualan Agro MADANI) dalam RM13 kita dapat seekor ayam dan dua jenis sayur.

“Kalau beras, RM26 untuk 10 kilogram (kg) tapi kat luar tak mungkin dapat harga tu. Memang setiap minggu saya tertunggu-tunggu (Jualan Agro MADANI) kerana harga amat berbaloi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi Jualan Agro MADANI di sini hari ini.

Pengawal keselamatan di Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Azeenan Mohd Isa, 53, berkata inisiatif KPKM itu amat bagus untuk diteruskan dan perlu dilaksanakan di pelbagai lokasi bagi memudahkan orang ramai khusus penjawat awam membeli barang keperluan pada harga berpatutan.

“Jualan Agro MADANI terbaik untuk rakyat kerana harga yang ditawarkan berpatutan dan memudahkan penjawat awam membeli barangan keperluan tanpa perlu ke pasar raya selepas bekerja….Jualan seperti itu dapat mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Beliau berharap Jualan Agro MADANI itu dapat menawarkan lebih banyak lagi barangan keperluan asas yang sentiasa dicari rakyat.

N. Yemuna, 42 pula berkata, beliau tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan termasuk  semasa sambutan Deepavali baru-baru ini memandangkan harga yang ditawarkan di situ amat berpatutan dan berbaloi.

“Kerepek di sini (Jualan Agro MADANI) murah, harga bawah RM10 boleh dapat 500 gram. Masa perayaan memang amat membantu kerana dapat membeli banyak dengan harga murah. Selain kerepek, saya juga membeli beras yang harganya RM26 bagi 10 kg,” katanya.

Sementara itu, penjual Leo Chen Lun, 40, berkata program Jualan Agro MADANI membantu peniaga seperti beliau meraih pendapatan lebih memandangkan lokasi program itu terdapat di seluruh negara.

“Jualan Agro MADANI ini memberi peluang kepada peniaga dan usahawan menjual hasil tanaman masing-masing sekali gus menambah pendapatan. Jambu dan buah naga yang dijual memang hasil tanaman saya sendiri dari ladang di Sepang. Walaupun saya jual pada harga rendah tetapi menguntungkan kerana bilangan pembeli yang banyak. Pendapatan sehari boleh mencecah RM1,000 lebih,” katanya.

Penjual bawang, Husainy Hazari, 45, berkata pelanggan tidak perlu ragu-ragu dengan harga di program jualan itu kerana harga barangan memang murah namun peniaga masih mampu mengaut untung melalui kuantiti jualan yang besar.

Sementara itu, penjual daging lembu tempatan Muhammad Hasri Sanardi, 36, berkata gerainya antara tumpuan orang ramai setiap kali berlangsungnya Jualan Agro MADANI memandangkan daging lembu segar sukar didapati di luar selain harganya yang mahal.

“Jualan Agro MADANI bagus kerana membantu peniaga mempromosikan produk tempatan. Daging lembu segar harganya jauh berbeza kalau dibandingkan dengan di pasar raya yang mencecah lebih RM50 sekilo tapi boleh didapati pada harga RM42 sekilo di sini. Pembeli pun puas hati dapat membeli daging segar pada harga berpatutan,” katanya.

Program Jualan Agro MADANI adalah penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama strategik agensi di bawah KPKM iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Inisiatif itu bagi membantu rakyat di seluruh negara mendapatkan bekalan produk segar dengan mudah pada harga berpatutan dan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus berbanding harga pasaran tempatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas