Selebriti

Jual Kambing Perap, FAROUK HUSSAIN Tidak Kisah Dilabel Artis Sendu

Dwan yang turut menjual telur sotong
- Diterbit 3 Julai 2020 2:38 AM MYT

EKORAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan golongan artis.

Artis serba boleh, Farouk Hussain, 53, turut menerima nasib yang sama. Tidak mahu terus bersedih dengan apa yang berlaku, Farouk kini menjual produk kambing perap FH.

Menurutnya, disebabkan tidak melakukan apa-apa aktiviti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , timbul idea untuknya menceburi bidang perniagaan.

FAROUK Hussain turut mendapat sokongan daripada wartawan, Dwan yang turut menjual telur sotong

“Mulanya saya tak tahu nak buat apa juga. Dalam masa sama, saya tengok ramai artis buat perniagaan online.

“Isteri saya akhirnya buka mulut suruh saya berniaga kerana dahulunya saya pernah buka kiosk menjual produk makanan ‘western’ di Damansara Heights.

“Jadi, saya cuba buat dulu 15 paket dan hebahkan pada rakan-rakan minta tolong promosikan.

“Tak sangka daripada situ semakin dapat banyak tempahan. Ikutkan saya baru sangat buat perniagaan ini.

“Sambutannya alhamdulillah kerana hampir 200 bungkus dah terjual. Mereka suka beli set kombo daripada promosi yang dibuat,” katanya yang tidak mahu bergantung harap sepenuhnya kepada pendapatan sebagai artis.

“Kita pun tak tahu bila bidang seni akan dibuka sepenuhnya. Tawaran mengacara pun belum tahu bila boleh mula sepenuhnya.

“Inilah caranya saya cari pendapatan kerana tawaran sebelum ini banyak yang dibatalkan. 

“Setakat hari ini saya baru dua kali dipanggil untuk buat suara latar iklan. Selebihnya tiada apa-apa. Inilah (bisnes kambing perap) yang tampung pendapatan saya pada masa sekarang,”jelasnya yang tidak ambil peduli dengan kata-kata mengaitkan dirinya sebagai artis sendu.

“Orang nak kata apa pun itu terpulanglah. Yang penting kita ada pendapatan. 

“Periuk nasi kita, kita jaga. Baru dapur boleh berasap,” katanya yang pernah menempa populariti sebagai pengacara program Sinaran pada era 1990-an serta popular menerusi filem Anak Mami The Movie yang diterbitkan pada 2002. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas