Biz

Cakenut ringan di bibir

MAHU label Cakenut tembusi rangkaian kiosk kosmetik seluruh negara.
- Diterbit 3 Julai 2020 6:03 AM MYT

WANITA dan gincu umpama rakan karib. Bagi mereka yang menjaga penampilan, pasti akan membawa sekurang-kurangnya sebatang gincu dalam beg tangan.

Menyedari pentingnya kosmetik yang satu ini, maka ia menjadi pilihan utama usahawan muda yang dikenali sebagai Nurul Nadia Sazali untuk menceburi perniagaan gincu.

Berbicara tentang perniagaan kosmetik di bawah label Cakenut miliknya, Nadia mengakui semuanya bermula gara-gara kesukaran mendapatkan gincu sesuai bibirnya.

“Sama seperti wanita lain, saya memang teruja dengan gincu tetapi masalahnya, amat sukar untuk mendapatkan produk yang sesuai dengan bibir.

“Puas mencuba pelbagai jenama tetapi bibir tetap mengelupas dan kering. Itu yang sering membuat saya kecewa. Dari situlah saya terfikir untuk menghasilkan produk sendiri,” ujar Nadia.

Dengan modal serendah RM5,000 dia mula menceburkan diri dalam perniagaan gincu lipmatte April lalu. Tidak menyangka percubaannya itu mendatangkan hasil, lebih 1,000 batang lipmatte berjaya di jual dalam masa yang singkat.

“Alhamdulillah bukan sahaja mendapat sambutan bahkan masalah bibir kering juga dapat diselesaikan. Bukan itu sahaja, rata-rata pelanggan juga memberi maklum balas positif terhadap produk cakenut lipmatte,” ujar usahawan yang baru berusia 34 tahun ini.

“Produk lipmatte keluarannya sangat ringan dan lembap setiap kali disapu di bibir. Bukan itu sahaja, pemakai juga seolah-olah tidak merasa memakai apaapa,” terangnya kepada Wilayahku.

Begitu mementingkan kualiti, Nadia berkata biarpun dikilangkan di Malaysia namun produknya setanding luar negara kerana bahan-bahan serta formulanya diimport dari Perancis.

Memiliki peminatnya yang tersendiri, kini produknya telah pun menembusi pasaran luar seperti Brunei dan Singapura selain mempunyai ratusan agen dan stokis di seluruh negara.

Mempunyai 14 variasi warna pilihan antaranya Turkish Delight, Melon Smoothie, Cookies dan Butterscotch menjadi warna hangat bagi peminat lipmatte.

“Dengan serendah RM34, pelanggan boleh mendapatkannya di laman Instagram; cakenut.hq serta Facebook; nadeafauzi atau melalui rangkaian stokis,” ujarnya.

Selain daripada produk lipmatte, Nadia juga turut mengetengahkan bedak asas di bawah jenama sama dan turut mendapat sambutan.

“Untuk masa hadapan, saya bercita-cita untuk menembusi rangkaian kiosk kosmetik di seluruh negara untuk memastikan jenama Cakenut setanding produk ternama di pasaran,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas