Berita

JPWPL lancar Kajian Tindakan tingkatkan kualiti PdPR

Sesi pembentangan sedang berlangsung.
- Diterbit 14 Ogos 2021 3:00 AM MYT

JABATAN Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) melaksanakan Pembentangan Kajian Tindakan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) secara berterusan.

Kajian tindakan adalah wadah terbaik bagi seseorang guru meningkatkan kualiti Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) secara berterusan.

Pendekatan yang lahir daripada daya kreativiti dan inovasi mampu menarik minat dan perhatian murid terhadap PdPR.

Program yang dibuat sepenuhnya secara dalam talian ini adalah inisiatif di bawah program Pembudayaan Kajian Tindakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

ZAILINA

Penyelarasnya Zailiana Zainol berkata, kajian yang telah dihasilkan oleh guru-guru di wilayah ini adalah berfokus kepada pendekatan terbaik PdPR terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Seramai 12 guru telah membuat pembentangan kertas kajian tindakan mereka kali ini. Mereka telah dilatih oleh 5 orang jurulatih yang diketuai oleh Pegawai SISC+ di Sektor Pembelajaran, Dr. Hyginius Lester Lee,” katanya.

Katanya, barisan Jurulatih Utama yang lain terdiri daripada Penolong Kanan Pentadbiran SK Patau-Patau, Dalilah Desa, guru SMK Mutiara, Junaidah Baharuddin, guru SKK SK St Anne, Ciptho Wiryawan @ Mohd Ikhwani dan guru SK Pekan II, Siti Farah Idayu Madi.

“Pembentangan mereka ini dinilai oleh enam panel yang telah dilantik dan pembentangan kertas kajian terbaik akan dipilih untuk mewakili W.P. Labuan dalam pembentangan di Persidangan Penyelidikan Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali ke-16 yang dijangka akan diadakan pada Oktober depan,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Sektor Perancangan berkata sebanyak lima sekolah rendah terlibat dalam tujuh pembentangan kertas kajian iaitu SKK Sk St. Anne, SK Sungai Bedaun (dua kertas), SK Pekan 2 (dua kertas), SKK SK Rancha-Rancha dan SK Pantai.

Manakala empat pembentangan lagi daripada sekolah menengah iaitu SMK Mutiara (tiga kertas) dan Sekolah Menengah St. Anthony.

YUSUP

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Mohamad berkata sebagai warga pendidik harus menekankan kepentingan kreativiti dan inovasi yang dijelmakan di dalam bentuk penulisan kajian tindakan untuk dikongsi bersama.

“Dalam era pandemik ini kita dapat lihat guru-guru berusaha mengoptimumkan penggunaan kemahiran ICT. Situasi pengajaran dan pembelajaran menjadi semakin berbeza, mencabar dan mengekang amalan-amalan lazim sebelum ini.

“Justeru, kajian tindakan amatlah relevan dan sangat rapat dengan guru dalam meningkatkan kualiti PdPR dalam tempoh ini,”katanya.

Sesi pembentangan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Pembudayaan Penyelidikan, Selvarajah a/l Manikam bersama Ketua Penolong Pengarah BPPDP, KPM, Dr. Haji Al-Azharri Siddiq Haji  Kamunri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas