Berita

PL agih 366 bakul makanan kepada pemandu e-hailing dan teksi air

FARY (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada Supian (kanan) bagi diagihkan kepada individu yang terkesan menerusi Info On Wheel (IOW) @ Merdeka 2021.
- Diterbit 14 Ogos 2021 3:00 AM MYT

S E R A M A I 366 pemandu e-hailing dan pemandu teksi air di Pulau Bebas Cukai ini menerima bantuan bakul makanan daripada Perbadanan Labuan bersempena Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Fary Akmal Osman, dalam usaha membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Penerangan Labuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengagihkan bantuan tersebut kepada golongan terkesan.

“Seramai 135 pemandu e-hailing (Grab Car), 31 pemandu teksi air dan 200 kit makanan lagi diserahkan kepada Jabatan Penerangan Labuan melalui Program Info On Wheel (IOW) @ Merdeka 2021,” katanya di Majlis Penyerahan Bantuan Makanan kepada Pemandu E-hailing secara pandu lalu di perkarangan Terminal Bot Antarabangsa Labuan, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad dan Ahli Lembaga Pengarah LDA Holding, Datuk Peter Mak.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen Jalur Gemilang Sambutan Bulan Kebangsaan 2021 berkata bersempena HKHM2021 IOW@Merdeka dilaksanakan Jabatan Penerangan Labuan bermula 2 Ogos hingga 16 September 2021 bagi menyemarakkan semangat cintakan Negara dan meningkatkan penghayatan rakyat terhadap sambutan HKHM 2021.

“IOW@Merdeka akan menjelajah ke setiap pelusuk pulau ini bagi sama-sama mengajak masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis bangunan, pejabat, kediaman dan di mana sahaja kita berada melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menggelorakan lagi kebanggaan kita kepada identiti Negara dan simbol kesatuan sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas