Biz

JMKU capai nilai jualan RM1.9 juta dalam tempoh kurang dua bulan

- Diterbit 11 Mei 2023 9:00 AM MYT

PROGRAM Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang dimulakan sejak penghujung Mac dalam usaha membantu meringankan beban rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, berjaya mencapai nilai jualan keseluruhan sebanyak RM1.9 juta setakat April lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata antara pencapaian tertinggi adalah melalui JMKU Festival Ramadhan Putrajaya yang merekod nilai jualan melebihi RM1.4 juta dengan disertai 20 koperasi dan usahawan yang memasarkan pelbagai produk keperluan harian dan sambutan Aidilfitri.

“Terkini, kita baru sahaja selesai dengan JMKU Pesta Kaamatan di Tamparuli, Sabah pada 6 dan 7 Mei 2023 yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kementerian itu dan agensi di bawahnya di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan aktiviti perniagaan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi telah kembali rancak sekali gus menyumbang ke arah meningkatkan kestabilan sektor keusahawanan melalui permudahan, bantuan dan peluang yang disediakan oleh kementerian itu dan agensinya.

Pada masa yang sama, katanya pelaksanaan program di bawah pelan strategik kementerian itu yang bertemakan “Berdaya Maju, TransformatiF dan ResponsiF” atau ringkasannya “BFF” telah mencapai 30 peratus kemajuan pelaksanaan setakat 30 April lepas.

“Seramai 196,621 individu yang terdiri daripada usahawan, PMKS, koperasi, perusahaan sosial, start-up, usahawan informal serta belia dan graduan telah menerima manfaat daripada 185 program yang dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, katanya kementerian juga telah melancarkan kempen “Mari Beli Lokal” di bawah platform keusahawanan digital MyMall yang mempunyai 467 peniaga aktif dengan nilai jualan sebanyak RM2.58 juta. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas