Berita

Jenazah wartawan hiburan Siti Nor Hafiza tiba esok

- Diterbit 5 Januari 2024 1:45 PM MYT

JENAZAH Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London dijangka tiba di tanah air esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh suami wartawan hiburan berkenaan, Mohd Roshdi Ramli menerusi WhatsApp kepada keluarga dan turut memberitahu jenazah akan berlepas dari London dengan menaiki pesawat MH0003 hari ini sebelum dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 7.15 pagi esok.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru sejurus selesai urusan di KLIA untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kuala Lumpur-Karak,” katanya.

Siti Nor Hafiza menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Charing Cross pada 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) pada 28 Dis lepas.

Beliau menerima rawatan di hospital itu selepas dilapor tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada 27 Dis lepas untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.

Wartawan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media itu terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London serta berlepas ke sana bersama Mohd Roshdi dan dua cahaya mata mereka pada pertengahan Disember lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas