Berita

Jenazah Mohd Diya selamat dikebumikan di Kampung Krubong

KEADAAN di perkarangan Masjid An Nur, Kampung Krubong, Melaka, pagi tadi.
- Diterbit 21 Oktober 2021 3:54 AM MYT

JENAZAH anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah,  Mohd Diya Che Jusoh, 46, selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid An Nur, Kampung Krubong, Melaka.

Upacara solat jenazah dan pengebumian beliau turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Masjid An-Nur sejak pukul 9.50 pagi.

Mohd Diya dilaporkan meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi tadi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka selepas rebah secara tiba-tiba semasa ingin menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, petang semalam.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain merakamkan ucapan takziah atas insiden tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, mangsa dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Mangsa dipercayai rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras separas dada orang dewasa, namun disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkannya ke tempat selamat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas