Berita

14 premis judi haram dipotong bekalan elektrik

|Superintendan Ahmad Jawila
- Diterbit 20 Oktober 2021 7:45 AM MYT

SEBANYAK 14 premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram di sekitar Pulau Bebas Cukai ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Sabah Electricity Sdn Bdn (SESB), hari ini.

Superintendan Ahmad Jawila

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, berkata, kesemua premis yang dikenakan tindakan itu melibatkan lima buah premis di bandar dan selebihnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dengan kerjasama SESB bermula pada jam 10 pagi, hari ini.

Katanya, tindakan pemotongan bekalan elektrik itu diambil bagi mengekang aktiviti perjudian di pulau itu.

“Tindakan pemotongan elektrik oleh kakitangan SESB selaras dengan Peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi pemotongan bekalan elektrik di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Zon SESB Labuan Ir Abd Affidz Abd Mokmin.

Ahmad menegaskan pihaknya memberi amaran keras kepada setiap pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen niaga mereka bagi menjalankan kegiatan haram terbabit.

“Kita harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan judi haram di persekitaran mereka,” katanya lagi.- WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas