Utama

Jenayah siber meningkat 99.5 peratus, elemen palsu paling tinggi

ELEMEN palsu direkodkan sebagai jenayah siber paling tinggi di Malaysia.
- Diterbit 25 November 2021 7:18 AM MYT

JENAYAH siber merekodkan peningkatan sehingga 99.5 peratus iaitu 20,805 kes bagi 2020 berbanding 10,426 aduan pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan bilangan aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), elemen palsu adalah paling tinggi berbanding unsur lucah, jelik, sumbang mahupun mengancam.

“Peningkatan aduan tertinggi adalah elemen palsu iaitu 117.6 peratus yang mana sebanyak 6,637 kes direkodkan pada 2020 berbanding 3,050 kes pada tahun sebelumnya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi rekod jenayah kekerasan dan harta benda pula, ujar beliau, kedua-dua jenayah itu menunjukkan trend penurunan.

Jelasnya, ia dipercayai disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah serta negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan individu.

“Berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, didapati Seremban, Negeri Sembilan merekodkan peratusan penurunan tertinggi pada 2020 iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 kes pada tahun sebelumnya. Ini diikuti Johor Bahru, Johor (-36.7 peratus) dan Melaka Tengah (-26.3 peratus).

“Dari segi jenayah harta benda pula, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang mencatatkan penurunan tertinggi iaitu 35.8 peratus pada 2020 kepada 982 kes berbanding 1,529 kes pada 2019. Diikuti Melaka Tengah, Melaka (-32.6 peratus) dan Kuala Muda, Kedaj (-29.4 peratus),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir memberitahu, bilangan penagih dadah serta jumlah kemasukan banduan sabitan juga menurun susulan usaha pencegahan jenayah dipergiatkan pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, katanya, kesalahan trafik yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati meningkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas