Berita

Jawatankuasa Pemulihan Wilayah Persekutuan diwujudkan

JPWP akan ditubuhkan bagi merangka strategi terbaik untuk membangunkan semula ekonomi di Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 13 Ogos 2021 7:30 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Wilayah Persekutuan (JPWP) bagi merangka strategi untuk membangunkan semula ekonomi di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan selepas mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok pada bulan ini.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, JPWP ini akan membincangkan mengenai strategi pembangunan Wilayah Persekutuan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus membuka semula sektor ekonomi, sosial dan kebudayaan di kawasan tersebut.

“Pada waktu ini, tahap imunisasi berkelompok di Labuan telah mencapai 80 peratus. Putrajaya sudah mencapai lebih 60 peratus manakala Kuala Lumpur pula menghampiri 70 peratus.

“Kita menjangkakan dalam tempoh dua minggu ini, sasaran tersebut dapat dicapai dan dapat membuka sektor ekonomi dan sosial,” katanya baru-baru ini.

Menurut Annuar, pihaknya menjangkakan akan mempunyai satu pelan pemulihan (road map) pada September ini yang berfungsi sebagai panduan untuk pembangunan dan merancakkan semula aktiviti di Kuala Lumpur termasuklah ekonomi, kebudayaan dan sukan.

“Kita juga sedang membuat persiapan termasuk memberi cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Yang penting saya nak tengok Wilayah Persekutuan sebagai pusat kegiatan ekonomi dan sosial akan kembali ceria mulai bulan kemerdekaan ini.

“Kalau itu dapat berlaku, aktiviti seperti busking dapat dilakukan secara normal dan individu yang telah lengkap vaksin dua dos boleh menjalankan aktiviti ekonomi masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas