Berita

Sertai PriVo untuk bantu rakyat – Ajjrina

AJJRINA menyerahkan bantuan kepada salah seorang penerima semasa mengikuti Program Jejak Prihatin.
- Diterbit 13 Ogos 2021 7:30 AM MYT

MENJADI sukarelawan ketika pandemik COVID-19 sedang memuncak memerlukan semangat yang tinggi serta mental yang kuat supaya ketakutan terhadap jangkitan virus dapat diketepikan demi m e m b a n t u mereka yang memerlukan bantuan sekaligus menyelami kehidupan rakyat sepanjang era pandemik ini.

Menerusi Sukarelawan Prihatin (PriVo), peluang mencurah bakti ketika negara memerlukan khidmat disambut dengan penuh semangat meskipun turut khuatir dengan keadaan yang mampu memudaratkan dirinya.

Sebagai peserta PriVo, Ajjrina Annuar, 34, perlu menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang terkesan dengan pandemik termasuk kesihatan dan keselamatan diri bagi mengelakkan diri menjadi penyebab kepada penularan wabak kepada orang lain.

“Ini adalah pengalaman pertama saya, ada perasaan teruja untuk membantu rakyat selain berpeluang melihat sendiri kehidupan mereka yang terkesan secara langsung seperti ibu tunggal dan warga emas yang terlantar sakit di rumah, wanita yang kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Situasi seperti itu menggamit perasaan hiba kerana kesukaran yang dialami telah mengubah kehidupan mereka,” katanya kepada Wilayahku pada Ahad.

Menurut Ajjrina, sebagai anak muda yang banyak mendapat manfaat daripada negara, dia merasakan negara amat memerlukan tenaga golongan muda untuk bersama-sama membangunkan semula negara.

“Keadaan ini sangat menginsafkan, malah lebih menakutkan apabila mendengar banyak kematian dan jangkitan berlaku setiap hari.Disebabkan itu, saya merasakan negara memerlukan kita hari ini untuk membantu masyarakat khususnya warga Wilayah Persekutuan yang lain,” katanya.

Bercerita lanjut tentang pengalamannya menyertai PriVo, Ajjrina memberitahu, dia bermula dengan menyertai pasukan Jejak Prihatin mencari serta meninjau penduduk miskin di Perumahan Awam (PA) Seri Johor sebelum menyerahkan bantuan seperti bakul makanan.

“Selain itu, sekiranya mereka memerlukan bantuan yang lain, kami akan membantu dan merujuk masalah mereka kepada agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau yang juga anak kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa memberitahu, program Jejak Prihatin amat diperlukan buat masa ini kerana ramai di luar sana yang hilang punca pendapatan atau tidak dapat keluar untuk meneruskan perniagaan seperti biasa.

“Jadi apa sahaja yang dilakukan sebagai warga Malaysia misalnya dari segi sumbangan tenaga sebagai sukarelawan, wang ringgit atau makanan. Perkara kecil itu akan memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang.

“Jika anda berpeluang untuk membantu orang diluar sana, pergilah membantu. Ia akan memberi banyak perubahan kerana ramai orang diluar sana yang memerlukan bantuan,” katanya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas