Agama

Jangan ‘troll’ sampai bangkit permusuhan

Gambar hiasan
- Diterbit 6 September 2019 5:38 AM MYT
MUFTI FATWA

Jawapan: PERTAMA sekali, media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp dan lain-lain adalah termasuk alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia. Hukum asal menggunakannya adalah HARUS jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Ini berdasarkan kaedah fiqh, “Asal pada segala sesuatu itu harus.”

Namun jika ia digunakan dengan tujuan dan kaedah yang bertentangan dengan hukum syarak seperti menjadikannya sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan sesama manusia apatah lagi sesama muslim, maka hukumnya jatuh haram.

Dalam bahasa mudah, troll merupakan slanga internet yang merujuk kepada perbuatan individu yang memulakan pertengkaran atau mengalihkan perhatian atau menyebarkan perselisihan dalam media sosial dengan menyiarkan mesej bersifat provokatif, sarkastik dan agresif yang jauh berbeza dengan topik asal perbincangan. Ia bertujuan menghasut pembaca memberikan respon secara emosional sama ada sekadar berjenaka atau dengan matlamat tertentu.

Pelaku troll biasanya membuka akaun palsu menggunakan profil mangsa mereka untuk dijadikan bahan sindiran dan jenaka. Pelaku troll juga menggunakan nama samaran dan profil palsu (pseudonym) untuk melakukan serangan peribadi ke atas individu lain.

Lebih membimbangkan apabila internet trolling yang dilakukan pada masa kini bukan sekadar dalam bentuk mesej bertulis, tetapi adakalanya dilakonkan dalam bentuk klip video pendek dan gambar yang diubah suai berserta dialog yang dicipta sendiri menggunakan aplikasi tertentu.

Kebanyakannya didapati mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku, menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu yang menjadi mangsa troll.

Jika begini yang dimaksudkan dengan troll, maka ia jelas bertentangan dengan akhlak dan adab Islam.

Dalam konteks media sosial, interaksi seseorang menjadi sangat luas dan terbuka. Di dalamnya ada orang yang kita kenal dan ada yang tidak dikenali, begitu jua sebaliknya. Di sini menuntut kita untuk berlaku jujur dan beradab dengan adab Islam yang tinggi. Ia sebagaimana sabda Baginda SAW: Maksudnya:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah yang baik-baik atau ia diam.” Riwayat al-Bukhari (75)

Seseorang tidak sepatutnya bersikap tidak bertanggungjawab dengan melontarkan apa sahaja yang mahu dikatakan atau dikongsikan tanpa berhati-hati. Mungkin ia menyangkakan itu remeh tetapi di sisi Allah SWT ia amat berat.

Justeru perbuatan troll yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak seperti yang dinyatakan di atas adalah DILARANG dan boleh membawa kepada dosa. Namun jika yang dilakukan hanya sekadar sindiran dengan bahasa kiasan tanpa menjatuhkan maruah peribadi seseorang tetapi lebih kepada teguran atau nasihat secara berhikmah, maka ia tidak mengapa. Semoga Allah SWT mengurniakan hidayah dan menyelamatkan kita semua daripada terjebak ke dalam hal sedemikian. Wallahu a’lam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas