Artikel

Cabar diri bermalam di Muzium Negara

PROGRAM secara berkumpulan untuk peserta yang menyertai program bermalam di muzium.
- Diterbit 6 September 2019 5:53 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI

SERINGKALI kita dimomokkan dengan cerita kononnya muzium menyimpan seribu satu misteri. Sehingga lebih teruk lagi ada yang mengatakan terdapat ‘penunggu’ yang akan menganggu pengunjung yang lemah semangat.

Persepsi negatif terus melekat di minda sesetengah orang sehinggakan ramai yang turut mempercayainya. Sedangkan di zaman moden ini sepatutnya cerita-cerita mistik seperti ini tidak lagi menjadi bualan.

Bagi menangkis dakwaan tersebut, Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan program bermalam di muzium. Menariknya program yang sudah pun bermula sejak tahun 2005 bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara ini mendapat sambutan yang cukup hangat.

Kejayaan penganjuran program ini oleh Muzium Negara telah menjadi ikutan muzium-muzium lain di seluruh negara. Malah pada tahun ini 36 buah muzium turut serta mengadakannya bertempat di muzium masing-masing.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, jumlah peserta yang menyertai mencecah 3,209 orang terdiri daripada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun berbanding tahun lalu, 1,573 orang.

“Penganjuran bersama muzium-muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia dan Muzium-Muzium Negeri, Swasta dan Institusi ini diharap dapat menyebarluaskan lagi fungsi dan peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal.

“Secara langsung juga, kerjasama di semua muzium di seluruh negara ini dapat memperkukuh dan memartabatkan industri permuziuman negara sekali gus mendidik pelajar agar memahami sesuatu sejarah,” ujarnya.

Katanya, bagi tahun ini, seramai 196 pelajar yang terdiri daripada sembilan buah sekolah memilih untuk berkampung di Muzium Negara selama dua hari satu malam.

Dalam masa sama, buat julung-julung kalinya pada tahun ini, program bermalam di muzium telah mendapat tajaan berupa barangan dan kain pelekat untuk membuat tengkolok daripada pihak minuman YEOS.

“Kita juga berupaya mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records di bawah kategori penyertaan peserta paling ramai memakai tengkolok untuk program pendidikan bermalam di muzium,” ujarnya.

Selain itu, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2019, pelbagai program berkait rapat dengan semangat patriotisme ditekankan antaranya persembahan berkumpulan, detik-detik akhir, lumba@muzium dan lain-lain lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas