Berita

Jangan terpengaruh persepsi negatif kestabilan negara

BASHIR (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik JaPen iaitu wakil Labuan Shipyard & Engineering (LSE).
- Diterbit 25 September 2022 6:45 AM MYT

SEMUA pihak diseru agar tidak terpengaruh dengan pelbagai andaian negatif yang yang tidak mempunyai asas terhadap ekonomi serta kestabilan negara, kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias.

Beliau berkata pelbagai petunjuk positif yang jelas memperlihatkan negara tidak berada dalam krisis ekonomi sepertimana yang dianggap negatif oleh pihak tertentu.

“Nilai ringgit telah meningkat berbanding dengan beberapa rakan dagang Malaysia dan mata wang lain.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang bagi tiga suku tahun berturut-turut bermula pada suku keempat 2021 sebanyak 3.6 peratus, suku pertama 2022 (5.0 peratus) dan suku kedua 2022 (8.9 peratus),” katanya pada Majlis Apresiasi@Merdeka yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Labuan, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah JaPen Labuan, Ab Rasil Hajatil.

Bashir yang juga merangkap Pengerusi Perbadanan Labuan berkata semua pihak jangan terperangkap apatah lagi turut menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai situasi ekonomi negara.

Persepsi negatif yang cuba disebarkan oleh pihak tertentu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah membawa kesan buruk yang begitu besar kepada negara.

“Ianya bukan setakat mengelirukan pemikiran rakyat, malah boleh menjejaskan minat pelabur luar untuk masuk ke Malaysia.

“Ia turut merencatkan segala usaha pemulihan dari kerajaan yang sudah mula menunjukkan pelbagai petunjuk positif,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas