Berita

22 hakim jayakan Perhimpunan Hakim Inovasi Antarabangsa di Labuan

AMIAH (tengah) menyampaikan Sijil Pembentangan Terbaik
- Diterbit 25 September 2022 7:00 AM MYT

PERSATUAN Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (Labuan Research, Innovation and Creativity Society – LaRIS) julung kalinya menganjurkan Perhimpunan Hakim Inovasi Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (National Assembly of International Innovation Judges) di Bilik Cemerlang, Wisma Perbadanan Labuan, baru-baru ini.

Program yang mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Perbadanan Labuan itu dihadiri seramai 22 hakim dari Labuan, Sabah, Sarawak, Perak dan Pahang.

Pengerusi LaRIS, Dr Hyginus Lester Junior Lee berkata pembentang dalam program ini disyaratkan mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai hakim dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa.

Jelasnya, mereka perlu berkongsi pengalaman dan mengupas isu-isu dalam penilaian inovasi, antaranya nilai komersial, keberkesanan kos, reka cipta, inovasi dan kreativiti, efisiensi, kebolehlaksanaan dan keaslian produk.

Pembentangan terbaik telah dimenangi oleh Samih Kukung (Hadiah Emas), Hyginus Lester (Hadiah Perak) dan Richeal Phil Thien Kim How (Hadiah Gangsa) manakala Hadiah People’s Choice untuk pembentangan popular dirangkul oleh Richeal Phil Thien How.

Pengerusi LaRIS, Dr Hyginus Lester Junior Lee yang juga Pegawai School Improvement Specialist Coach (SISC+) menyatakan bahawa program tersebut menghimpunkan hakim inovasi dari seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam penilaian inovasi peringkat antarabangsa, membincangkan isu dalam penilaian reka bentuk dan ciptaan produk, mengesyorkan prinsip inovasi yang berkualiti, dan mempromosi penghasilan inovasi yang efisien dan lestari.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Perbadanan Labuan kerana menyokong program tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas