Berita

Jangan tebang pokok sewenang-wenangnya- Annuar

- Diterbit 4 April 2021 8:58 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mengingatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan orang ramai untuk tidak menebang pokok yang ditanam di bandaraya ini sewenang-wenangnya.

Katanya, sebatang pokok yang baharu ditanam berharga RM350 sebatang dan ia memerlukan jangkamasa diantara 20 tahun hingga 30 tahun untuknya membesar agar kesannya dapat dinikmati semula seperti sebelum ini.

“Melalui program menanam 1 juta pokok yang sedang dilaksanakan ini, ia melibatkan peruntukan kewangan yang besar iaitu kira-kira RM350 juta.

“Maka pokok-pokok ini adalah pelaburan yang sanagt berharga. Sebab itu, kalau dah besar, jangan nak cuba potong-potong pokok,” katanya kepada pemberita selepas mearasmikan program Penanaman 1 Juta Pokok Wilayah Persekutuan Peringkat Kuala Lumpur di Tasik Takungan Banjir Batu hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Beliau turut menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar mengingatkan kontraktor yang dilantik agar tidak mengambil jalan pintas dengan memotong atau menebang pokok kerana ia tidak dibenarkan.

Menurut Annuar, setiap pokok yang di tanam ini telah didaftarkan melalui aplikasi bagi tujuan rekod termasuklah individu yang menanam.

“Pokok ini mestilah dianggap sebagai pelaburan masa depan, bukan tanam suka-suka.

“Kita harap warga kota tidak mencuri atau menebang pokok, jangan larikan pokok, anggaplah ia sebagai harta bersama,” katanya.

Ujar Annuar lagi, pihaknya telah mengaggap menebang pokok sebagai satu kesalahan kerana ia merosakkan alam sekitar.– AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas