Berita

Jangan takut, vaksin terbukti kurangkan risiko pesakit ICU

KKM telah mengambil inisiatif proaktif kesiapsiagaan ICU dan alat bantuan
- Diterbit 20 Ogos 2021 3:45 AM MYT

PENGAMBILAN vaksin yang dikatakan membantu mengurangkan risiko jangkitan terbukti apabila kadar kemasukan warganegara ke unit rawatan rapi (ICU) hospital dilaporkan semakin berkurangan.

Justeru, individu yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dinasihatkan supaya tidak takut untuk mengambilnya di pusat pemberian vaksin (PPV) yang disediakan di sekitar Kuala Lumpur dan bagi warganegara yang tidak mempunyai temu
janji boleh lakukan secara ‘walk-in’.

G PREMYLA

Berkata mengenainya, jururawat Hospital Tuanku Mizan Zainal Abidin, G Premyla memberitahu, setiap individu perlu menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu dengan mengambil suntikan vaksin yang disediakan kerajaan.

Malah, beliau menasihatkan orang ramai supaya mempercayai pasukan perubatan dan petugas barisan hadapan yang akan memberikan suntikan vaksin.

“Sesetengah orang mungkin berasa bimbang kerana menonton video viral. Ramai yang tidak percaya dengan kami walaupun setiap
proses dilakukan dan ditunjukkan di hadapan mereka.

“Cuba percaya dengan kami, sebab kami cuba tolong semua orang. Apabila tiada kepercayaan, kami rasa agak kecewa dan sedih,” luahnya.

Tambahnya, setiap vaksin adalah sama dan tiada istilah di mana Pfizer lebih berkesan daripada Sinovac dan sebagainya kerana setiap vaksin yang digunakan di Malaysia akan diuji terlebih dahulu keberkesanannya sebelum diagihkan kepada orang ramai.

“Mungkin sebab pemikiran sesetengah individu, bila Sinovac dari China jadi mereka mempunyai pemikiran di mana barang China tidak berkualiti.

“Bukan seperti itu, bila kita dapat vaksin, Malaysia tidak akan bagi terus pada patient. Pasukan dan orang atasan akan uji dulu sebelum bagi dekat masyarakat,” jelasnya kepada Wilayahku.

Ditanya mengenai kesan sampingan selepas mengambil vaksin, Premyla menjelaskan, ia bergantung kepada badan masing-masing yang mana setiap orang tidak akan mengalami kesan sama.

Tambahnya, individu yang sudah mengambil suntikan vaksin dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan minum air kosong yang banyak serta kurangkan aktiviti lasak supaya badan boleh memproses vaksin tersebut. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas