Berita

“Jangan ragu-ragu terhadap vaksin COVID-19” – Shiha Zikir

- Diterbit 17 April 2021 7:56 AM MYT

DALAM usaha kerajaan untuk menghapuskan pandemik COVID-19 dalam kalangan masyarakat, amat mengecewakan apabila masih ada yang ragu-ragu dengan vaksin yang ditawarkan.

Sebelum ini, pihak Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 telah pun memutuskan pengambilannya harus dan wajib diambil.

Namun menurut laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) baru-baru ini, masih ramai yang tidak mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Bagi penyanyi dan pelakon popular, Shiha Zikir, 33, rakyat harus sama-sama menyokong usaha kerajaan ini untuk kebaikan semua.

“Seperti yang kita semua maklum, pendaftaran untuk mendapatkan vaksin telah lama dibuka. Kita boleh mendaftar secara atas talian atau manual.

“Bagi saya, perkara yang baik, memberi kebaikan kepada semua dan halal di sisi agama, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya.

“Jadi janganlah ada rasa ragu-ragu terhadap vaksin COVID-19. Sampai bila kita nak berada dalam situasi sekarang. Nasib kita tidak berubah kalau kita tidak berusaha untuk mengubahnya,” ujar Shiha yang berharap tidak ada pihak yang cuba mempengaruhi orang lain untuk tidak mendaftar pengambilan vaksin.

“Kalau tak nak vaksin, itu pilihan anda. Apa boleh buat itu hak masing-masing tetapi janganlah menyebarkan salah faham tentang vaksin.

“Tolonglah hargai usaha kerajaan dan sama-samalah kita berusaha untuk menjadi lebih baik dengan mengambil suntikan vaksin,” ujarnya penyanyi lagu AEWO itu lagi.

Menurut Buku Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan JKJAV, dua kaedah secara dalam talian adalah pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual pula, terdapat tiga kaedah yang membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan menghubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas