Berita

Iklan raya promosi judi.. “Kita kena faham siapa yang mengupah mereka” – PU Amin

- Diterbit 18 April 2021 3:37 AM MYT

BARU-baru ini tular satu iklan raya dalam media sosial yang menggunakan judul “Hari Raya Berkaya” yang jelas mempromosikan aktiviti judi secara dalam talian.

Video tersebut memaparkan dua pelakon masing-masing seorang lelaki dan wanita menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri apabila mendapat wang daripada aktiviti perjudian.

Pendakwah selebriti, PU Amin berpendapat isu sebegini tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

“Sejak tular, ramai yang sudah bagi pandangan termasuk pemimpin. Saya sendiri juga telah memberi komen kepada beberapa pihak media.

“Sama ada disengajakan atau tidak, apabila iklan itu tular di bulan Ramadan ni, satu perkara yang tidak baik untuk kita.

“Selain itu, apabila kita baca kenyataan pelakon iklan itu, mereka pun tidak tahu bagaimana itu boleh berlaku. Mungkin mereka berlakon iklan itu sebab cari duit.

“Kita kena faham siapa yang mengupah mereka. Siapa pihak di sebalik itu,” katanya kepada Wilayahku pada majlis sidang media Pelancaran produk Troieka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim,31, juga berharap orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk menyelesaikan isi yang tular ini.

“Pihak polis pun dah ambil tindakan dan buat tangkapan. Kita percaya ini akan memberi pengajaran kepada pihak-pihak lain.

“Dan sebenarnya perkara ini sepatutnya tak boleh ada (berlaku), sebab kita takut bila orang tengok sekarang ini bad marketing is the best marketing. Apa-apa pun kenalah berjaga-jaga supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” tambahnya lagi.

PU Amin juga turut menjelaskan, pelakon juga salah jika mengetahui lebih awal tijuana iklan tersebut adalah untuk mempromosi judi dalam talian.

“Kalau mereka tahu iklan ini bertujuan itu (judi), mereka salah. Tapi apa yang saya dengar, mereka tidak tahu dan hanya melakukannya sekadar berlakon dalam video muzik hari raya. Tetapi bila baca lirik di hujungnya baru tahu ada perkataan ‘cuci’.

“Jadi, saya kira mereka sudah cuba untuk elakkan, tapi tak boleh. Wallahualam.

“Untuk akan datang, kena berjaga-jaga. Kena selidik siapa yang bagi job kepada kita,” ujarnya lagi.

Terdahulu, video yang tular sejak 15 April lalu itu mengundang kecaman serta membangkitkan kemarahan masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Iklan tersebut yang pada mulanya menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri kemudiannya bertukar kepada promosi aktiviti perjudian bagi mendapatkan wang untuk menyambut perayaan dengan meriah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas