Selebriti

“Jangan hakimi terlalu awal” – Sharnaaz Ahmad

- Diterbit 20 Jun 2022 10:52 PM MYT

“Jangan hakimi terlalu awal. Tidak tahu lagi bila pendakwaan tetapi saya sudah beri keterangan sebaik mungkin kepada pihak polis,” ujar pelakon Sharnaaz Ahmad kepada pihak media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur.

Sharnaaz yang ditahan reman selama tiga hari berhubung kes dakwaan pukul penghuni kondominium itu berharap orang ramai menunggu cerita sebenarnya dalam sebuah sidang media yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

Dalam masa sama, Sharnaaz berkata, dia akan membuktikan kepada mahkamah bahawa dirinya tidak bersalah.

“Saya yakin saya tidak bersalah. Insya-Allah saya akan buktikan kepada semua ada kebaikan yang saya buat dalam kes ini yang orang tidak tahu dan tidak diceritakan,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan, seorang pelakon lelaki popular direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes menumbuk dan menendang mangsa di kondominium di Segambut, Kuala Lumpur.

Kejadian berpunca apabila mangsa meminta rakannya menghantar barang ke kediamannya kira-kira pukul 8 malam, namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium itu.

Mangsa kemudian turun ke lobi untuk bertanya kepada pengawal keselamatan tentang perkara tersebut dan berlaku pentengkaran di antara mereka berdua.

Artis lelaki berkenaan yang turut berada di lobi itu secara tiba-tiba muncul untuk meleraikan pergaduhan dan difahamkan telah menumbuk serta menendang mangsa. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas