Berita

“Jangan dilupa nasib artis veteran” – Liza Abdullah

- Diterbit 9 Mei 2021 3:29 AM MYT

DRAMATIS popular Liza Abdullah,56, memuji usaha pihak yang sentiasa prihatin terhadap golongan artis veteran yang sesetengah mereka tiada punca pendapatan dan sakit.

Bagi Liza, peranan mereka dulu sangat dihargai apabila sentiasa menghiburkan masyarakat dengan bakat mereka serta tidak pernah lelah memperjuangkan industri seni.

“Dulu masyarakat sentiasa terhibur dengan bakat mereka. Sekarang apabila mereka sudah lanjut usia dan ada sesetengahnya hidup susah, janganlah dilupakan nasib artis veteran ini.

“Tidak dinafikan ada sesetengah mereka sudah tiada punca pendapatan, malah ada yang sakit dan banyak duit dihabiskan untuk perubatan.

“Saya memuji usaha banyak pihak yang sudi membantu artis-artis veteran yang susah dan perlukan sokongan.

“Antaranya adalah usaha penerbit terkenal Datin Seri Nora Shamsudin yang memperuntukkan sumbangan duit raya dan keperluan rumah kepada artis-artis veteran.

“Tidak salah berbahagi rezeki, insya Allah balasannya berganda-ganda buat orang yang suka berbuat amal,” katanya yang ditemui pada majlis sumbangan kepada artis-artis veteran di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi Liza, dia juga sentiasa menyokong segala aktiviti amal kebajikan yang melibatkan artis-artis veteran.

“Selagi saya kuat dan boleh menolong, saya akan berusaha melibatkan diri dalam program kebajikan yang melibatkan mereka. Mungkin hari ini hari mereka, saya tak tahu macam mana nasib saya pada masa akan datang.

“Orang selalu nampak artis hidup senang. Mereka lupa yang artis juga manusia biasa, kadang-kadang berada di atas, kadang-kadang di bawah.

“Jadi apabila artis-artis veteran diraikan dan mendapat sumbangan, sedikit sebanyak boleh menampung kekurangan yang ada,” ujar Liza Abdullah yang bersyukur kerana masih dikurniakan rezeki setelah 40 tahun menjadi anak seni.

Drama lakonan Liza Abdullah yang sedang disiarkan adalah Mr. Bibik dan Kelmarin Cinta. Liza juga akan kembali ke set penggambaran drama bersiri 7 Hari Mencintaiku musim ketiga selepas aidilfitri nanti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas