Berita

Bayar zakat melalui skim potongan gaji, majikan perlu galakkan pekerja tunai kewajipan

- Diterbit 8 Mei 2021 1:11 PM MYT

KEWAJIBAN berzakat ke atas semua umat Islam yang telah memenuhi syarat, iaitu cukup haul dan nisab, harus dipandang serius oleh semua pihak termasuk kalangan majikan di negara ini.

Peranan tersebut wajib digalas seseorang ketua dengan menggalakkan berzakat dalam kalangan perkerja sebagai suatu kewajipan yang telah pun dipertanggungjawab ke atas setiap umat Islam tanpa berkecuali.

Dengan pelbagai medium bayaran mudah disedia sama ada secara online mahupun konvensional termasuk melalui skim potongan gaji bulanan, maka tiada alasan untuk umat Islam masih gagal menunaikan kewajipan zakat yang amat dituntut dalam agama.

Perkara tersebut jelas Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al Habshee, penting kerana majikan sebagai pihak bertanggungjawab ke atas pekerjanya wajib untuk memastikan kewajipan zakat ditunaikan.

Beliau berkata, dengan ketetapan kadar zakat 2.5 peratus daripada pendapatan, adalah tidak logik sekiranya masih terdapat umat Islam yang tidak menunaikan kewajipan tersebut dengan berbagai alasan termasuk membebankan atau tidak tahu cara membayarnya.

“Tunaikan zakat salah satu daripada rukun Islam merupakan perintah Allah. Namun, masih ramai mengabaikan rukun Islam ketiga itu walau telah layak menunaikan zakat.

“Zakat merupakan cara menyucikan harta selain menunjukkan kesyukuran kepada Allah. Amalan zakat itu sendiri banyak kelebihan bukan sahaja terhadap harta dimiliki malah pada pemilik harta itu sendiri.

“Sebagai majikan bertanggungjawab, zakat juga secara tak langsung mampu melahirkan pekerja yang amanah, telus dan berdedikasi malah akan menjana produktiviti kepada syarikat,” katanya dalam temu bual bersama media di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP di Taman Shamelin, baru-baru ini.

Selain menyucikan harta, zakat juga berperanan dalam membangunkan ekonomi umat Islam di mana duit zakat yang dikutip akan disalur kepada asnaf yang layak.

Kaedah ini secara langsung dapat merapat jurang antara golongan kaya dengan miskin yang mana matlamatnya adalah mengeluarkan warga asnaf daripada kepompong kemiskinan.

Menurut Syed Ali, kewajipan berzakat tidak akan menyebabkan seorang pembayar menjadi miskin, sebaliknya keberkatan wang dibelanjakan kepada kebaikan itu akan dilipatgandakan selain jadikan kehidupan individu itu lebih tenang dan berkat.

Katanya, apabila kita mengeluarkan harta dengan tujuan kebaikan Allah akan lipatkaligandakan lagi harta tersebut lebih dari zakat yang dikeluarkan hanya 2.5 peratus sahaja.

Perumpamaan nafkah dikeluarkan oleh mereka yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh butir lagi, pada tiap-tiap butir itu 100 biji Allah melipatgandakan ganjaran bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

“PPZ-MAIWP sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk permudahkan urusan pembayaran zakat. Antara pelbagai saluran disediakan ialah perkhidmatan di 10 Kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari pada sepanjang Ramadan termasuk cuti umum.

“Selain itu, Perkhidmatan kaunter Zakat Digital (KZD) juga dilaksanakan untuk kemudahan para pelanggan yang boleh berurusan tanpa perlu ke kaunter dengan membuat janji temu untuk diselia oleh pegawai zakat PPZMAIWP sehingga selesai proses bayaran zakat.

“Selain itu, Perkhidmatan Door to Door turut disediakan khas untuk pembayar yang ingin mendapat layanan peribadi dengan nilai bayaran minimum ditetapkan RM1,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Ali menjelaskan kefahaman kewajipan untuk umat Islam menunaikan zakat fitrah di bulan Ramadan telah pun jelas, namun bagi zakat harta masih ada segelintir golongan masyarakat yang kurang faham mengenainya.

Justeru katanya, pelbagai kempen hebahan dan promosi giat dilaksanakan oleh PPZMAIWP secara berterusan dalam usaha memberikan kesedaran di samping menggalakkan orang Islam tunaikan kewajipan yang dituntut itu.

“Zakat berperanan penting menangani masalah pengangguran dan kemiskinan. Orang miskin tidak mempunyai modal minimum bagi menjalankan suatu perusahaan atau perniagaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut ketetapan, maka sudah tentu orang miskin juga berhak menerima bahagian masingmasing,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali turut menjelaskan, pada tahun ini, sasaran kutipan keseluruhan zakat oleh PPZ-MAIWP sebanyak RM800 juta berbanding pencapaian tahun sebelumnya RM756 juta.

Sasaran tersebut katanya, realistik untuk dicapai sekiranya kesedaran dan tanggungjawab semua umat Islam di Wilayah Persekutuan khususnya, membayar zakat ditunaikan sepenuhnya.

“Berdasarkan data kami nilai kutipan PPZ-MAIWP masih tidak selari dengan bilangan orang ramai bekerja di sini. Anggaran ada lebih 500,000 orang pekerja (Islam) yang layak dan wajib membayar zakat, namun jumlah yang menunaikan kewajipan itu setakat ini cuma 370,000 orang sahaja.

“Justeru, sempena keberkatan Ramadan ini, saya ingin menyeru kepada semua umat Islam yang memiliki harta dan cukup nisab RM20,299 untuk tahun 2021 dan cukup haul, wajib baginya untuk tunaikan 2.5% dari hartanya untuk dimanfaatkan golongan asnaf,” katanya.

Dalam berdepan pandemik COVID-19 ini, semakin ramai rakyat terjejas pendapatan akibat terpaksa dibuang kerja, dipotong gaji, terjejas pendapatan dan semestinya mereka memerlukan semangat untuk bangkit semula. Sehubungan itu kata Syed Ali, dengan zakat yang ditunaikan ia akan menjadi salah satu semangat buat mereka untuk kembali bangkit serta keluar dari kepompong kemiskinan.

“Dalam harta kita ada hak orang lain. Tidak adil sekiranya kita berkira untuk memberi sebahagian daripada harta kita untuk memberi senyuman kepada mereka yang memerlukan.

“Selain itu, zakat yang ditunaikan akan menjadi saham kita di akhirat kelak. Sesungguhnya zakat itu satu pelaburan yang amat menguntungkan bukan sahaja di dunia, malah lebih berharga di akhirat kelak,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas