Berita

DBKL serbu pusat hiburan Bollywood

||
- Diterbit 9 Mei 2021 10:49 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu dan menutup sebuah premis hiburan ala Bollywood yang beroperasi tanpa kebenaran serta melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi.

Dalam hantaran di laman Facebook, DBKL berkata serbuan di Kompleks Wilayah, Bukit Bintang itu dilakukan menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) berikutan aduan yang diterimanya daripada orang awam.

“Premis ‘’hidden club’’ ini menggunakan laluan pintu belakang (pintu kecemasan) bagi mengaburi dan mengelak dari dilihat dari orang ramai akan aktiviti mereka.

“Selain dari itu, pintu hadapan premis ini mengandungi dua lapisan termasuk satu pintu tebal yang berfungsi sebagai pintu kedap bunyi bagi mengelakkan bunyi bising muzik kuat daripada didengari oleh orang luar.

“Seramai empat orang wanita warga Bangladesh yang bertugas sebagai pelayan dan juga penari berada di dalam premis semasa serbuan dilakukan.

Tindakan sita turut dilakukan terhadap 14 pelbagai peralatan berkaitan aktiviti ini berupa komputer riba, mixer, mikrofon dan lain-lain,” kata DBKL hari ini.

Sehubungan itu, DBKL turut mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992.

Seandainya sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda sehingga RM50,000.

Satu notis kompaun turut dikenakan di bawah Undang Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kerana menyalahgunakan lesen restoran / kedai makan dengan menjual dan menghidangkan minuman keras  tanpa kebenaran sah yang boleh didenda sehingga RM2,000.-

Katanya lagi, operasi ini dilaksanakan mengikut bidang kuasa, peruntukan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan diteruskan dari masa ke semasa.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas